Pembukaan sempadan: Boleh guna 'Border Pass' untuk ke Thailand melalui Padang Besar

Abd Hadi Che Awang
Mei 5, 2022 12:22 MYT
Pada 1 April lepas, pintu sempadan di Wang Kelian dibuka semula kepada rakyat Malaysia-Thailand selepas ia ditutup sebelum ini berikutan ancaman wabak COVID-19. - Gambar fail/BERNAMA
PADANG BESAR: Susulan pembukaan pintu sempadan Padang Besar- Thailand yang bermula hari ini, beberapa kelonggaran telah diberikan pihak kerajaan termasuk kebenaran untuk menggunakan 'Border Pass' atau Pas Sempadan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri Perlis, Ruzaini Rais, penggunaan 'Border Pass' berkenaan hanya melibatkan individu yang lahir di negeri Perlis, Kedah, Kelantan serta daerah Hulu Perak.
Tambahnya, tempoh untuk individu yang masuk ke Thailand menggunakan 'Border Pass' adalah maksimum tiga hari dua malam selain mereka perlu memuat naik aplikasi 'Thai Pass'.
Selain itu, individu yang terlibat juga tidak lagi perlu menjalani ujian RT-PCR serta dikecualikan daripada membeli insurans perubatan.
"Maklumat daripada pihak Imigresen dan juga KKM bahawa 'Border Pass' dibenarkan untuk digunakan dimana mereka yang menggunakan 'Border Pass' mendapat beberapa kelonggaran terutama sekali pengembara daripada Malaysia yang hendak ke Thailand,
"Mereka hanya perlu mendaftar dengan Thailand punya aplikasi (Thai Pass), kemudian pihak (berkuasa di) Thailand (akan) memberi (kebenaran) kemasukan selama tiga hari kepada rakyat Malaysia yang menggunakan 'Border Pass'".
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena pembukaan pintu sempadan Padang Besar-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ruzaini menyatakan bahawa individu yang menggunakan pasport antarabangsa turut mendapat kelonggaran untuk memasuki negara Thailand.
Antaranya ialah pengecualian daripada menjalani ujian RT-PCR serta pengurangan bayaran pembelian insurans perubatan selain boleh berada di Thailand lebih lama berbanding individu yang menggunakan 'Border Pass'.
Terdahulu, pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dibuka hari ini dan menjadi pintu sempadan ketiga Malaysia-Thailand selepas pembukaan pintu sempadan Wang Kelian, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Pengarah Imigresen Perlis, Khairul Amin Taib, berkata pengembara dari Thailand yang memasuki negara melalui pintu sempadan itu juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Tambahnya, antara syarat yang ditetapkan oleh KKM, pengembara perlu lengkap status vaksinasi dan menyediakan dokumen perjalanan yang lengkap.
Pada 1 April lalu, dua pintu sempadan Malaysia-Thailand telah dibuka dengan beberapa SOP dan peraturan diperkenalkan termasuk semua pelancong yang masuk melalui pintu sempadan darat di bawah program 'Test & Go' perlu memohon - 'Pas Thailand' secara dalam talian sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perjalanan.
Di bawah program 'Test & Go' juga pengembara perlu membuat tempahan awal di hotel yang ditetapkan serta melakukan ujian RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian antigen kendiri pada hari kelima selain perlu membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum AS$20,000.
#Pengembara #pas sempadan #Thailand #Wang Kelian #Bukit Kayu Hitam #Perlis #thailand pass
;