Pembukaan sektor pelancongan: Jangan hanya tertumpu kepada Langkawi - Sultan Kedah

Abd Hadi Che Awang
September 20, 2021 11:18 MYT
Sultan Kedah mahu usaha dibuat bukan hanya khusus kepada Pulau Langkawi tetapi juga diperluaskan ke destinasi pelancongan di tanah besar Kedah. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini menzahirkan rasa sukacita atas keputusan kerajaan persekutuan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai destinasi perintis bagi program gelembung pelancongan.
Menurut baginda, projek berkenaan perlu mencapai kejayaan seperti yang ditetapkan agar sektor pelancongan di negeri jelapang padi itu dapat dikekalkan keberadaannya di pentas dunia.
Baginda menzahirkan keyakinan, pembukaan Langkawi mampu menjadi perintis kepada lebih banyak aktiviti pelancongan di negeri itu, meskipun inisiatif berkenaan hanya dibuka kepada pelancong tempatan yang sudah lengkap divaksin sahaja.
"Kerjasama dan persediaan rapi diperlukan bagi membolehkan program ini dijayakan. Kemudahan pelbagai infrastruktur sedia ada hendaklah dibuat penambahbaikan, di samping aktiviti promosi pelancongan yang bersasar perlu digerakkan.
"Usaha-usaha ini bukan hanya dikhususkan kepada Pulau Langkawi sahaja bahkan perlu diperluaskan ke destinasi pelancongan di tanah besar Kedah sebagai persediaan pembukaan secara menyeluruh di masa hadapan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal keempat Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14, di sini, hari ini.
Sultan Sallehuddin turut menyentuh mengenai seruan terhadap kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi Md Nor untuk mengambil satu perancangan yang teratur dan jelas dalam hal ehwal agama dalam usaha melangkah ke fasa endemik COVID-19 kelak.
Baginda bertitah, prosedur operasi standard (SOP) perlu disemak semula supaya lebih sesuai dengan situasi endemik, sekali gus syiar Islam di negeri ini dapat disemarakkan.
"Menyedari hakikat kita akan melangkah ke fasa endemik, beta turut menyeru satu perancangan teratur dan jelas dapat diambil oleh Kerajaan Negeri dalam hal ehwal melibatkan aktiviti keagamaan.
"SOP perlu disemak semula agar lebih menyeluruh dan lebih sesuai dengan situasi endemik. Beta berkehendak syiar Islam di bumi Kedah ini terus subur dan bersemarak," titah baginda.
#Sultan Kedah #sektor pelancongan #Langkawi #gelembung perjalanan
;