Pembukaan sekolah: Ibu bapa tekan kepentingan patuhi SOP

Astro Awani
Oktober 3, 2021 22:35 MYT
Rata-rata ibu bapa yang ditemui di sekitar Johor Bahru menyambut baik keputusan kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka pada Ahad depan. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Pembukaan sekolah secara berperingkat bermula hari ini di beberapa negeri di Malaysia dianggap sangat penting untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui di sekitar Johor Bahru menyambut baik keputusan kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka pada Ahad depan.
Selain berharap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi di sekolah, ramai antara mereka tidak melepaskan peluang untuk membawa anak masing-masing untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.
Penjawat awam, Abdul Ghafar Abdul Latif, berkata dia sentiasa mengingatkan dua anaknya yang bersekolah supaya sentiasa memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan.
"Anak saya yang di sekolah menengah sudah mendapat vaksin, namun yang di sekolah rendah... dia tidak ada peperiksaan penting, jadi belum mendapat peluang divaksinasi.
"Jadi saya sentiasa pesan supaya masing-masing pakai pelitup muka dan patuhi arahan sekolah serta guru. Jangan ambil mudah SOP," katanya.
Peniaga, Nor Azman Abdul Wahid, berharap pematuhan SOP di luar sekolah turut dititikberatkan semua pihak berkaitan.
"Bagi pendapat saya dalam kawasan sekolah saya rasa sudah cukup tapi mungkin boleh ditambah baik di luar sekolah... macam mana anak balik sekolah... terutama dalam bas atau van sekolah," katanya.
Kementerian Pendidikan telah menetapkan pembukaan institusi pendidikan bagi negeri Johor akan bermula pada 10 Oktober ini berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
Pembukaan itu hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Pembukaan juga membabitkan pelajar semester 2 Tingkatan Enam, program prauniversiti, semester tiga di Sekolah Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan antarabangsa.
#suara rakyat #pembukaan sekolah #pematuhan SOP #bas sekolah
;