Pembukaan sekolah beri sinar baharu pada pengusaha bas dan van

Bernama
Februari 27, 2021 15:51 MYT
Pembukaan semula sesi persekolahan dapat membantu golongan pengusaha bas dan van sekolah untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Pengusaha bas dan van sekolah di Johor menyifatkan pembukaan sekolah pada 1 Mac ini memberikan sinar baharu kepada mereka selepas terjejas mata pencarian berikutan pandemik COVID-19.
Saisnorfariza Isnin, 27, yang menguruskan perniagaan van sekolah sejak tahun lepas berkata walaupun pendapatan yang bakal diraih berkurangan sehingga 50 peratus berikutan jumlah penumpang yang terhad kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekurang-kurangnya ia dapat memberikan kelegaan.
"Kita berharap ibu bapa yakin untuk menggunakan perkhidmatan van dan bas sekolah kerana anak-anak duduk dengan penjarakan fizikal," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Back To School Semburan Disinfeksi Percuma Pandu Lalu anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Johor, di sini, hari ini.
Saisnorfariza berkata ibu bapa juga tidak perlu risau kerana pengendali perkhidmatan van dan bas sekolah mengambil inisiatif sendiri membuat sanitasi sebelum dan selepas penumpang naik untuk memastikan keselamatan anak mereka terjamin.
Selain itu katanya, tambang bas atau van sekolah dikekalkan seperti sediakala setelah mengambil kira keadaan ekonomi semasa rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
"Kita faham semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini semua orang susah, jadi tambang tetap dikekalkan mengikut jarak penghantaran," katanya.
Sementara itu, Hui Hai Lae, 35, pula berkata pembukaan semula sekolah dapat membantu mereka dalam meneruskan kelangsungan perniagaan.
"Keadaan sekarang susah, ibu bapa risau dan ada yang hantar anak sendiri ke sekolah tetapi ibu bapa yang bekerja tetap akan menggunakan bas sekolah kami. Oleh itu, kami bersedia untuk melakukan sanitasi sendiri dengan menggunakan alkohol dan klorin untuk menjaga keselamatan penumpang," katanya.
Sementara itu, Setiausaha MTPN Johor Noorman Kamsani berkata pihaknya memberikan perkhidmatan sanitasi secara percuma menerusi konsep pandu lalu bagi membantu pengusaha melakukan persiapan sebelum pembukaan sekolah.
Ini sekali gus dapat mengembalikan semula keyakinan ibu bapa dalam menggunakan perkhidmatan berkenaan.
"Selepas ini, kita juga akan menyumbang antara dua hingga tiga mesin sanitasi kepada persatuan bas dan van sekolah mengikut kawasan jadi mereka boleh buat sendiri selepas ini.
"Selain itu, kita berhasrat untuk meneruskan inisiatif ini di seluruh negeri bagi membantu lebih ramai pengusaha van dan bas sekolah," katanya.
-- BERNAMA
#bas sekolah #van sekolah #murid #pelajar #sekolah #ibu bapa #pengusaha bas sekolah #pandemik #COVID #SOP #penjarakan fizikal #pendapatan
;