Pembukaan pejabat NIOSH di Kapit penuhi keperluan latihan tenaga kerja projek mega
Syafik Shukri Jalil
November 20, 2021 18:47 MYT
November 20, 2021 18:47 MYT
KAPIT: Pembukaan pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Kapit akan membantu memudahkan urusan menyedia perkhidmatan dan kepakaran aspek keselamatan serta kesihatan pekerjaan.
Menurut Pengerusinya, Datuk Wilson Ugak Kumbong, dengan pembukaan cawangan keempat di Sarawak ini juga akan membantu memudahkan urusan warga Kapit khusus dalam perkara melibatkan urusan dengan NIOSH.
“Sebelum NIOSH didirikan di Kapit mereka terpaksa berulang alik pergi ke Miri, Bintulu dan Kuching.
“Ini melibatkan penggunaan kos yang agak tinggi dan kedua beberapa urusan akan mengambil masa yang lama antaranya melibatkan peperiksaan Penyelia Keselamatan Tapak (SSS) kendalian NIOSH,” katanya.
Pembinaan cawangan NIOSH di Kapit merupakan yang pertama di kawasan pedalaman di negeri Bumi Kenyalang.
Malah menurutnya, pembukaan ini akan memenuhi keperluan ribuan tenaga kerja yang terlibat dalam pembangunan projek infrastruktur mega seperti pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh.
“Pembukaan ini juga pasti memberi banyak manfaat kepada mereka yang terlibat dengan industri seperi minyak dan gas.
“Malah ia juga memudahkan rata-rata penduduk di kawasan ini yang terlibat dengan projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh,” tambahnya lagi.
Majlis perasmian pejabat NIOSH cawangan Kapit disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Kapit Town Square pada Sabtu.