Pembukaan Parlimen: Harap institusi Parlimen terus utuh, dijunjung - Anwar Ibrahim

Hasimi Muhamad
September 13, 2021 13:13 MYT
Anwar turut berkesempatan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bangunan Parlimen hari ini - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar institusi Parlimen terus utuh dan dijunjung sebagai antara elemen penting demokrasi berparlimen dan negara hukum.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, Anwar turut memuat naik beberapa keping gambar beliau berkesempatan bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bangunan Parlimen.
"Hari ini hadir ke Parlimen bagi Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dirasmikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
"Semoga institusi Parlimen terus utuh dan dijunjung sebagai antara elemen penting demokrasi berparlimen dan negara hukum," katanya dalam entri Facebook, pada Isnin.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah tiba di Bangunan Parlimen bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 10 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
BACA: Agong laksana amanah berat lantik PM ke-9, puas hati sokongan 114 ahli Parlimen
Serentak dengan ketibaan Al-Sultan Abdullah, lagu Negaraku dimainkan sebelum Seri Paduka berangkat ke Bilik Rehat Diraja.
Seri Paduka Baginda dalam Titah Diraja antaranya menekankan agar ahli politik jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
Titah Seri Paduka Baginda, lebih setahun berlalu, negara masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik dan menyebabkan rakyat dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam.
#Istiadat pembukaan Parlimen #Al-Sultan Abdullah #COVID-19 #Anwar Ibrahim
;