Pembukaan Masjid Razaleigh mirip Masjidil Haram ditangguh lagi
Muhafandi Muhamad
April 19, 2021 06:14 MYT
April 19, 2021 06:14 MYT
GUA MUSANG: Impian penduduk di sini untuk mengerjakan solat tarawih di Masjid Razaleigh yang mirip Masjidil Haram Mekah pada bulan Ramadan ini masih belum tercapai.
Ini kerana, pembukaan masjid bernilai RM32 juta itu, yang dijadual pada 17 Ramadan ini, terpaksa ditangguh berikutan penularan COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pembinaan masjid itu sudah siap sepenuhnya namun pembukaannya terpaksa ditangguh selepas melihat situasi pandemik ketika ini yang membimbangkan.
"Pastinya pembukaan masjid ini ditunggu-tunggu oleh ramai pihak terutamanya dalam kalangan rakyat, namun Tengku (Razaleigh Hamzah) bimbang jika mereka yang datang ini dalam kuantiti yang ramai, pasti akan menyebabkan SOP (prosedur operasi standard) tidak dipatuhi.
"Begitu juga, Tengku berhasrat menjemput seramai mungkin pemimpin-pemimpin dalam negara.
"Oleh kerana masih banyak negeri yang tidak boleh direntas dan arahan merentas negeri ini masih belum dibuka oleh pihak MKN, maka Tengku memikirkan bahawa masjid ini belum sesuai dibuka," katanya pada Isnin.
Mula dibina pada akhir 2016, masjid yang diilhamkan Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang itu, dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram.
Sementara itu, penduduk yang ditemui menyatakan akur dengan keputusan itu susulan situasi COVID-19 ketika ini.
Antaranya, Norfadzlete Aryani Mat Rosli yang setuju perasmian masjid itu ditangguhkan.
"Walaupun kita tahu Masjid Razaleigh ini merupakan paling canggih di Malaysia dan jadi tumpuan para pelancong.
"Mana-mana rakyat negeri Kelantan, anak-anak muda yang berada di luar, anak jati Kelantan yang balik ke Kota Bharu, Kuala Krai, mesti akan singgah di Masjid Razaleigh.
"Ini kerana, masjid ini paling canggih dan seperti Masjidil Haram di Mekah," katanya yang juga Ketua Puteri UMNO Gua Musang.
Pekerja swasta, Zamri Zakaria, pula berkata, dia setuju pembukaan masjid ditangguh sementara disebabkan wabak yang semakin merebak di negeri ini.
"Mudah-mudahan selepas (wabak) reda, mungkin masjid ini akan dibuka secara rasmi," katanya.
Masjid Razaleigh yang berkeluasan 21,336 meter persegi itu mempunyai ruang solat yang boleh memuatkan 3,500 jemaah pada satu-satu masa.
Ia turut dilengkapi dengan bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan, bilik kuliah, pejabat imam dan dewan makan.
#Gua Musang
#pelancong
#COVID-19
#pandemik
#Ramadan
#Mohd Syahbuddin Hashim
#masjid razaleigh
#Masjidil Haram