Pembukaan Langkawi: Banyak perkara perlu diperbaiki terutama pematuhan SOP - Tun M

Abd Hadi Che Awang
September 18, 2021 14:41 MYT
Tun Dr Mahathir berkata, antara tumpuan yang perlu diberikan adalah membabitkan pematuhan SOP dalam kalangan pelancong selain memudahkan proses kemasukan pelancong ke pulau Langkawi.
LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, terdapat banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam memastikan kejayaan dapat diperoleh menerusi insiatif projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, antara tumpuan yang perlu diberikan adalah membabitkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelancong selain memudahkan proses kemasukan pelancong ke pulau peranginan itu.
Walaupun mengakui berpuas hati dengan perjalanan projek rintis yang telah bermula sejak Khamis itu, beliau dalam masa sama berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama sebaiknya bagi mengelakkan daripada sebarang risiko jangkitan dan penularan COVID-19.
"(Walaupun secara umum berpuas hati) tetapi kita dapati banyak SOP tidak diamalkan dengan sepenuhnya terutama berkaitan jarak antara pelancong… kita dapati mereka kerap (berada) berdekatan (dan) tidak patuh kepada syarat untuk menjauhkan antara individu sejauh satu meter.
“Sepatutnya jadi lebih daripada satu meter, kerana berkaitan (varian) Delta COVID-19 ini… satu meter tak cukup, jadi ini mungkin akan bawa kesan, walaupun yang datang sini sudah disuntik, kita dapati ada yang mendapat positif jangkitan," kata beliau dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di sini, pada Sabtu.
[TERKINI] Sidang media Tun Dr Mahathir & LADA tentang pembukaan semula sektor pelancongan Langkawi
Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri itu berkata, kapasiti penumpang di dalam pesawat dan feri juga perlu dikurangkan serta tidak boleh dibiarkan duduk terlalu rapat.
Sehubungan itu, pihak berwajib, jelas Dr Mahathi, sewajarnya menambah kekerapan perjalanan kedua-dua perkhidmatan terbabit dalam satu-satu masa bagi memudahkan urusan pelancong untuk masuk ke Pulau Langkawi.
“Walaupun terdapat banyak tindakan yang diambil oleh kerajaan bagi mengelakkan pelancong terkena jangkitan, tetapi menerusi perbincangan, saya dan pihak LADA merasakan kapasiti di dalam pesawat perlu dikurangkan.
“Ini bagi memastikan penjarakan fizikal berlaku dan mereka duduk terlalu rapat, sama juga di dalam feri, pelancong duduk terlalu rapat antara satu sama lain, jadi apa yang paling penting adalah membabitkan pematuhan SOP iaitu penjarakan fizikal
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut berharap agar kerajaan dapat menambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Phuket, Thailand yang disifatkannya dibiarkan terlalu bebas sehingga terpaksa ditutup kembali kepada pelancong.
Perkara itu bukan sahaja akan merugikan pihak kerajaan dan kementerian terlibat malah kepada penduduk Langkawi yang majoritinya bergantung kepada sektor pelancongan.
BACA: Langkawi jadi perintis gelembung perjalanan bermula 16 Sept - PM
BACA: Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian saringan COVID-19, kata Khairy Jamaluddin
Mulai Khamis lalu (16 September), kerajaan memilih Langkawi sebagai projek rintis destinasi pelancongan di bawah program gelembung perjalanan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun pembukaan sektor itu berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.
Pengunjung yang berhasrat bercuti di pulau peranginan itu juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19
Ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.
#Langkawi #pematuhan SOP #Mahathir Mohamad #gelembung perjalanan
;