Pembukaan Jelajah Jiwa SME 2023 disambut meriah di Sabah

Haikal Raman
Julai 22, 2023 14:30 MYT
Para pengunjung dapat menyertai sesi perkongsian ilmu di pentas bersama ikon keusahawan iaitu Richard Ker, Lan Solo, wakil IKSnita, Jessica Yew serta Denny. -Astro AWANI
KOTA KINABALU: Jelajah Jiwa SME 2023 membuka tirai dengan sambutan cukup meriah daripada para pengunjung dan usahawan-usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di sekitar Sabah.
Menjadi lokasi pertama, acara yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu itu menemui pengunjung di Imago Shopping Mall di sini dengan lebih 25 reruai disediakan.
Acara dimulakan dengan perarakan masuk para usahawan daripada Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputra Sabah (IKSnita) yang mengenakan pakaian tradisional tempatan selain penampilan khas Juara Miss Classic International Global 2018 World Champion, Jennifer Chok Pian Lin.
Jiwa SME 2023 yang memfokuskan pembangunan, pembelajaran serta bimbingan keusahawanan ini menyasarkan seramai 30,000 pengunjung dan bakal membawakan sesi perkongsian ilmu di pentas bersama ikon keusahawanan iaitu Richard Ker, Lan Solo, wakil IKSnita, Jessica Yew serta Denny.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku rakan strategik melalui menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata program seumpama ini amat bermakna kepada PMKS sebagai tanda sokongan daripada kerajaan.
Menurut beliau, ia bagi memastikan usahawan tempatan terus berdaya saing serta mewujudkan ruang untuk memperkenalkan produk mereka melalui kerjasama strategik bersama media tempatan.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk Membina Semula Ekonomi, ekosistem keusahawanan yang kondusif perlu diperkukuhkan untuk menyokong pertumbuhan usahawan khususnya PMKS.
"Galakan, insentif dan dorongan penuh harus diberikan kepada PMKS supaya mereka berupaya membangunkan perniagaan yang berdaya saing dan mampan yang seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat," katanya ketika melancarkan program Jiwa SME 2023 di sini pada Sabtu.
Program dengan kerjasama Astro AWANI itu selaras dengan hasrat kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Telekom Malaysia (TM) merupakan Penaja Utama dan KUSKOP selaku Rakan Strategik.
Bertemakan Gelanggang Inspirasi Usahawan, Jiwa SME akan menyusuri lima lokasi di Malaysia, iaitu Sabah (Zon Borneo), Johor Bahru (Zon Selatan), Kelantan (Zon Pantai Timur), Pulau Pinang (Zon Utara), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Zon Tengah).
#Jelajah Jiwa SME 2023 #Astro Awani #Pembangunan Keusahawanan #PMKS Sabah
;