Pembukaan hutan berskala besar tingkatkan konflik manusia, binatang liar

Bernama
Disember 11, 2023 04:00 MYT
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, beliau telah meminta agar diletakkan anggota Jabatan Perhilitan di kawasan berkenaan bagi mengatasi permasalahan berkaitan. - Gambar Bernama
GUA MUSANG: Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto, di sini, mendakwa, pembukaan hutan berskala besar menjadi antara faktor yang menyumbang kepada konflik manusia dan haiwan liar hingga mengorbankan nyawa di penempatan itu.
Md Ramli Ismail, 57, berkata, sejak serangan harimau belang hingga meragut nyawa dua pekerja ladang warga asing dalam tempoh 48 jam bulan lalu, penduduk ketakutan untuk melaksanakan aktiviti pertanian hingga menjejaskan pendapatan mereka.
Beliau berkata, meskipun tinggal berdekatan dengan hutan simpan dan bekerja di kawasan hutan tebal sejak 30 tahun lalu, mereka tidak pernah berdepan dengan ancaman haiwan liar namun kini semuanya berubah.
"Kami merasakan keadaan hutan semakin merosot menjadi antara punca harimau belang merayu keluar dari habitat asal ke ladang atau penempatan penduduk di pinggir hutan.
"Dalam tempoh dua bulan ini penduduk menghadapi tekanan yang teruk kerana susah untuk ke ladang dan hutan bagi mencari rezeki," katanya ketika ditemui pemberita di RKT Meranto, baru-baru ini.
Menurut Kamarudin Yaakub, 65, situasi tersebut mengakibatkan kebanyakan ladang mula bersemak kerana mereka tidak dapat melakukan rutin harian seperti menebang dan menebas ketika mengutip buah sawit.
"Biasanya kami mengutip hasil buah sawit tiga kali sebulan, tetapi sekarang sudah dua bulan kebanyakan peneroka tidak dapat masuk lagi kerana trauma dengan peristiwa hitam itu," katanya.
Katanya, beliau juga kini mengehadkan waktu bekerja dan terpaksa menggaji pekerja.
"Sebelum ini anak saya yang membuat kerja di ladang tetapi sekarang terpaksa membahagikan pendapatan yang tidak seberapa dengan mengupah pekerja luar untuk mengambil hasil buah kelapa sawit," katanya.
Ketua Peneroka RKT Meranto, Mohamed Khalid Sulaiman, 72, berkata, kelibat harimau belang juga kerap dilihat berhampiran penempatan itu, terbaru penduduk melihat haiwan buas di laluan berhampiran sebuah sekolah rendah di Kampung Jerek, dua minggu lalu.
"Masalah kehadiran haiwan liar ini memberi kesan secara langsung kepada 99 peneroka malah turut menjejaskan rutin harian 400 penduduk. Saya merayu agar kerajaan mengambil tindakan dan memberi pampasan atau bantuan kepada golongan yang terkesan," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berkata, beliau telah meminta agar diletakkan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan berkenaan bagi mengatasi permasalahan berkaitan. - BERNAMA
#Perhilitan #haiwan buas #memberi pampasan #waktu bekerja
;