Pembubaran Parlimen kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong?

Prof Datuk Shamrahayu Ab Aziz
Oktober 2, 2022 09:15 MYT
Perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah wajib diperoleh bagi membolehkan pembubaran Parlimen. - Foto fail/JAPEN
KUALA LUMPUR: Assalamu’alaikum wrt wbt kepada semua pembaca. Selamat berhujung minggu untuk semua. Moga hari minggu ni bolehlah kita berehat dengan tenang sebelum menyambung kerja esok.
Mungkin ramai antara kita yang mendengar desas desus Parlimen akan dibubarkan. Saya tak tahu bila, cuma bila saya baca di media, macam dah dekat sangat. Apa pun itu belum pasti.
Yang pasti, saya tidak mahu berbicara tentang itu, saya cuma mahu sebut dan mengulangi pengisian tentang undang-undang berkaitan pembubaran Parlimen. Walau bila pembubaran berlaku, undang-undang tetap sama. Elok untuk kita fahami kedudukan undang-undang berkaitan.
Terdapat beberapa perkara yang saya ingin kongsikan dalam tulisan ini.
Pertama:
Apakah yang dimaksudkan dengan pembubaran Palimen? Parlimen terdiri daripada tiga komponen, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat (Perkara 44). Walaupun begitu, hanya Dewan Rakyat yang dibubar. Apabila sebut pembubaran Parlimen, ia bermaksud pembubaran Dewan Rakyat.
Dewan Negara tidak tertakluk kepada pembubaran. Ini kerana hanya ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum (PRU). Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum dilaksanakan.
Kedua:
Bilakah Parlimen boleh bubar?
Pembubaran Dewan Rakyat di negara kita boleh berlaku dalam tiga keadaan:
i. Apabila tamat tempuh 5 tahun - iaitu apabila umur Parlimen mencapai lima tahun mengikut Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.
ii. Apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenan pembubaran Parlimen jika Perdana Menteri yang percaya dirinya telah hilang kepercayaan majoriti ahli Parlimen dan membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
iii. Apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenan pembubaran Parlimen jika terdapat permintaan bagi tujuan tersebut. Pada amalan negara kita, keadaan ketiga ini berlaku apabila Perdana Menteri membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaraan Parlimen untuk mendapatkan mandat pengundi, iaitu bagi tujuan mengadakan PRU.
Ketiga:
Adakah Wajib mendapatkan Perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen?
Ya. Perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah wajib diperoleh bagi membolehkan pembubaran Parlimen, kecuali Parlimen bubar secara automatik setelah mencapai usia lima tahun menurut Perkara 55(3). Ini kerana pembubaran Parlimen adalah kuasa baginda menurut Perkara 55(2).
Keempat:
Adakah perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen adalah atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri atau atas kuasa budi bicara baginda? Maksudnya adakah Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat atau budi bicara baginda sendiri untuk memberi perkenan pembubaran Parlimen?Soalan ini soalan paling popular sekarang ni.
Dalam hal ini, tiada peruntukan khusus yang menyatakan tentang kedudukan “nasihat” Jemaah Menteri atau nasihat Perdana Menteri bagi urusan pembubaran Parlimen. Mereka yang berhujah menyatakan bahawa ia adalah kuasa yang perlu dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri merujuk kepada Perkara 40(1) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.
Saya tidak mengambil pendekatan tafsiran ini. Saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa perkenan membubarkan Parlimen adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum saya huraikan pandangan saya, perlu dinyatakan bahawa, dalam hal berkaitan pembubaran Parlimen, terdapat tiga peruntukan berkaitannya dalam Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan tersebut ialah:
i. Perkara 40(2)(b)
Perkara ini menyatakan: “…. (2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:… (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;… …”;
ii. Perkara 55(2)
Perkara ini menyatakan: “Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.”; dan
iii. Perkara 43(4)
Perkata ini menyatakan: “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”
Ulasan saya mengenai peruntukan-peruntukan ini ialah:
1. Perkara 40(2)(b) menggunakan istilah “permintaan” atau dalam bahasa Inggeris, “request”, bukan “nasihat” atau “advise”. Perkataan “permintaan” atau “request” menjadikan ia berbeza dengan peruntukan umum tentang “nasihat” atau “advise”. Sekiranya perkataan digunakan adalah nasihat, maka Perkara 40(1) hendaklah diterimapakai. Oleh kerana perkataan “permintaan” yang digunakan, maka ia menunjukkan perkenan Yang di-Peruan Agong bukan atas nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri, ia adalah kuasa budi bicara baginda dan Perkara 40(2)(b) adalah terpakai.
2. Perkara 40(2)(b) adalah khusus untuk menyatakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembubaran Parlimen (dan dua perkara lain, iaitu pelantikan Perdana Menteri dan mesyuarat Majlis Raja-Raja). Pembubaran Parlimen dengan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2)(b) ini tidak terhad hanya kepada keadaan di bawah Perkara 43(4), iaitu apabila Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan sahaja. Tiada apa-apa perkataan atau frasa lain dalam Perlembagaan yang menghadkan pemakaian Perkara 40(2)(b) ini kepada Perkara 43(3) sahaja.
Justeru itu, pada pandangan saya, setiap pembubaran Parlimen adalah atas “permintaan” dan bukan atas “nasihat” walau apa keadaan pembubaran itu berlaku (kecuali bawah Perkara 55(3) - pembubaran secara automatik setelah Parlimen capai umur lima tahun). Sekali gus, pembubaran Parlimen hanya boleh berlaku sekiranya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong secara budi bicara baginda.
3. Laporan Suruhanjaya Perlembagaan (atau dikenali sebagai Suruhanjaya Reid) juga boleh dijadikan hujah untuk menyatakan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen adaah kuasa budi bicara baginda.
Kenyataan atau fakta sejarah berkenaan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen dapat dilihat pada perenggan 58 Laporan Suruhanjaya Reid. Antara lain, perenggan ini menyatakan, “….The choice of the Prime Minister and the dissolution of Parliament should, we recommend, be his constitutional responsibility,…” Frasa “his constitutional responsibility” ini saya fikir dimaksudkan sebagai kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong ya g dinyatakan pada Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
4. Laporan Jawatnkuasa Kerja juga mempunyai kenyataan yang lebih kurang serupa dengan Laporan Suruhanjaya Reid. Kenyataan atau fakta sejarah budi bicara Yang di-Pertuan Agong juga boleh dilihat dalam Kertas Putih atau Constitutional Proposals for the Federation of Malaya yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja.
Jawatankuasa Kerja atau Working Committee ini adalah Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji Laporan Suruhanjaya Reid dan deraf (cadangan) kepada Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid.
Jawatankuasa Kerja ini ditubuhkan kerana Raja-raja tidak berpuas hati dengan jaminan kepada raja-raja yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid dalam deraf Perlembagaan Persekutuan, terutamanya tentang kedudukan, kuasa dan peranan Majlis Raja-Raja (Conference of Rulers).
Keanggotaan Jawatankuasa Kerja ini adalah terdiri daripada empat orang wakil raja-raja dan empat orang wakil kerajaan. Berkenaan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Perenggan 18 Kertas Putih ini, antara lain, menyatakan, “…He will act in discretion….in withholding his consent to a request for the dissolution of Parliament…” (Perkataan “He” merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong). Kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen tidak begitu berbeza antara cadangan Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih ini.
5. Keputusan kes Datuk Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin v. Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir;Attorney General (Intervener) [2010] 2 CLJ 925 pada halaman 944-945 juga adalah hujah saya untuk menyatakan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa budi bicara baginda.
Keputusan kes ini mungkin boleh dianggap sebagai lamdmark decision dalam hal budi bicara raja yang sedang kita bincangkan. Mungkin ada pembaca yang beranggapan bahawa bahagian yang saya petik di bawah adalah sekadar ratio decidendi, tapi bagi saya, ia juga boleh dijadikan panduan dan boleh diterima sebagai hujah utama untuk menyatakan perkenan untuk pembubaran Parlimen adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Di bawah saya petik perenggan 34 alasan penghakiman sebulat suara lima orang hakim yang dibacakan oleh YAA Arifin Zakaria CJ (Malaya).
“[34] In this regard we would, however, add that the power to dissolve the LA is vested in HRH by art. XXXVI(2) no matter in what circumstances it was made. This is clear from our reading of the said article which provides:
(2) His Royal Highness may prorogue or dissolve the Legislative Assembly.
This is the only provision touching on the dissolution of the LA. Article XVI(6), in our view, does not provide for the dissolutionof the LA as such, but merely provides that the MB may in the circumstances stated in art. XVI(6) request HRH for the dissolution of the LA. It does not confer the power on HRH to dissolve the LA.
So in the event HRH accedes to the request for the dissolution of the LA it has to be done under XXXVI(2) not under art. XVI(6). As we see it art. XXXVI(2) is a general power to dissolve the LA, but the circumstances under which the LA may be dissolved are varied, and one such circumstance is when there is a request by the MB to do so under art. XVI(6) and HRH agrees to such a request.
Other instances that we can think of, is where the Government of the day may request for the dissolution of the LA prior to expiry of the five year term in order to get a fresh mandate from the electorate.
It is important to note that in all cases, the decision whether or not to dissolve the LA is in the absolute discretion of HRH. HRH does not act on advice of the Executive Council in the matter of dissolution of the LA This is clearly stated in art. XVIlI(2)[(6)] (b)”
Moga perkongsian saya ini dapat memberikan kefahaman kepada semua pembaca. Terima kasih kerana sudi singgah di laman Facebook saya.
Salam Hormat
Shamrahayu

*Prof Datuk Shamrahayu Ab Aziz ialah pakar perlembagaan dan pensyarah di UIAM.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Yang di-Pertuan Agong #pembubaran Parlimen #Dewan Negara #Dewan Rakyat
;