Pembubaran DUN Sabah: 33 ADUN kemuka rayuan keputusan Mahkamah Tinggi

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Assim Hassan, Ruzaini Zulkepli
Ogos 21, 2020 11:23 MYT
Tengku Fuad berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak semakan kehakiman itu pagi ini. - Gambar fail
Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim mendapati Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah hilang majoriti sebagai Ketua Menteri Sabah dan hanya mempunyai dua pilihan di bawah Artikel 7 (1) Akta Perlembagaan Negeri Sabah iaitu membubarkan dewan atau meletakkan jawatan.
Malah, menurut peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad, hakim juga mendapati 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kes tersebut ada hak untuk memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN Sabah.
Sehubungan itu, Tengku Fuad berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak semakan kehakiman itu pagi ini.
“Apa yang menarik pada sesi pagi ini adalah dua perkara. Pertama, Leonard yang meneliti semakan kehakiman menjelaskan bahawa 33 ADUN ada hak mencabar keputusan pembubaran oleh Juhar.
“Kedua, Leonard juga mendapati, Mohd Shafie sudah hilang majoriti (sebagai ketua menteri Sabah) dan hanya mempunyai dua pilihan iaitu letak jawatan atau membubarkan DUN mengikut Artikel 7(1) Akta Perlembagaan Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Tambah Tengku Fuad, pihaknya tidak bersetuju dengan suruhanjaya penghakiman mengenai penggunaan perkataan 'menasihati' (advice) dan 'memohon' (request) selain beranggapan kedua-dua perkataan itu tidak sama.
"Ia mungkin sama dengan negeri-negeri lain yang mempunyai Sultan tetapi di Sabah kita ada Yang Dipertua Negeri yang bukan berketurunan raja," katanya.
Tengku Fuad merupakan peguam yang mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN yang memohon kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Juhar membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.
BACA: Pembubaran DUN Sabah: Mahkamah Tinggi tolak permohonan 33 wakil rakyat
LAPOR LANGSUNG Mahkamah tolak kes cabar pembubaran DUN Sabah
#ADUN #bubar #DUN Sabah #hakim #Juhar Mahiruddin #Ketua Menteri #Kota Kinabalu #mahkamah #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #pembubaran DUN #semakan kehakiman #Tengku Fuad Tengku Ahmad
;