Pembuat batu nisan maut dalam kemalangan jalan raya
Astro Awani
Januari 11, 2015 18:46 MYT
Januari 11, 2015 18:46 MYT
Hasrat untuk menghantar batu nisan untuk digunakan di tanah perkuburan di Lenggong tidak kesampaian apabila van yang dinaiki pembuat batu nisan itu terbabit dalam kemalangan di kilometer 63 Jalan Ipoh - Gerik, berhampiran Liman Kati, Perak hari ini.
Ahmad Tajudin Ishak, 51 dari Kampung Seri Kinta, Ipoh, meninggal dunia ditempat kejadian selepas dikatakan tercampak keluar, manakala anaknya, Nurul Aunui, 12, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Seorang lagi anaknya, Mohd Khalish, juga 12 tahun serta seorang lagi pembuat batu nisan, Mohd Sohaimi Zakaria, 43, yang berasal dari Kampung Gelok, Lenggong, mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Menurut polis, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.14 tengahari ketika van Toyota Hiace yang mereka naiki dikatakan sedang dalam perjalanan ke dari Ipoh ke Lenggong untuk menghantar batu nisan.
Setibanya di tempat kejadian, van mangsa cuba memotong sebuah kenderaan lain dan dalam masa sama cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
Van yang mereka naiki dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan tergolek beberapa kali sebelum masuk ke dalam longkang di tepi jalan.
Penguasa Bomba Kanan Dua dari Balai Bomba Kuala Kangsar, Zainal Ahmad Taken memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 1.16 tengahari dan terpaksa menggunakan mesin hidrolik untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.