Pembuangan sisa dipercayai bahan kimia dikesan di Sungai Klang

Bernama
Mac 15, 2019 10:22 MYT
Tenaga kerja LUAS mengesan pencemaran pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Klang pada Khamis. Foto Facebook LUAS
Pembuangan sisa-sisa disyaki bahan kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab dikesan berlaku di Sungai Klang Khamis.
Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Datuk Hashim Osman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6 petang.
"Pihak kami telah ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti bahan kimia tersebut, dan mengambil tindakan pencegahan pencemaran.
"Setakat ini maklumat yang kami peroleh bahan kimia itu dipercayai dibuang ke dalam longkang dan mula mengalir ke dalam Sungai Klang," katanya ketika dihubungi.
Hashim berkata siasatan juga sedang dijalankan berhubung keluasan kawasan pencemaran dan akan memaklumkan perkembangan terkini apabila memperoleh maklumat lengkap.
Terdahulu, LUAS memuat naik maklumat dan gambar mengenai pembuangan sisa disyaki bahan kimia tersebut di laman sosial Facebook miliknya petang tadi.
-- BERNAMA
#bahan kimia #Facebook #Hashim Osman #Lembaga Urus Air Selangor #LUAS #pembuangan sisa #Selangor #sungai klang
;