Pembuangan haram: 33 tong bahan kimia disahkan bersifat asid sangat tinggi
Abd Razak Mohd Ali
Disember 15, 2022 11:00 MYT
Disember 15, 2022 11:00 MYT
KUALA KANGSAR: Sampel daripada 33 tong bahan kimia yang dibuang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan lapang berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, disahkan bersifat asid yang sangat tinggi.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, pengesahan itu berdasarkan laporan yang diterimanya daripada pihak Jabatan Kimia.
Sehubungan itu, katanya, tindakan segera telah diambil untuk meletakkan bahan tersebut di tempat yang lebih selamat tetapi masih di dalam premis pemilik tanah yang berkenaan.
“Sebab, kita hendak meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak pemilik tanah, sekiranya kita tak menemui pihak yang melakukan (pembuangan itu).
“Siasatan masih diteruskan tetapi mungkin dalam waktu terdekat kita boleh rumuskan untuk membuat keputusan sama ada kes itu boleh dibawa (ke mahkamah) ataupun tidak.
“Ataupun, kita mengenakan tindakan kepada tuan tanah kerana membenarkan tanah mereka menjadi tapak untuk ditempatkan bahan buangan yang tidak sepatutnya ada di situ,” katanya.
Rosli ditemui selepas menyertai operasi bersepadu kilang haram di Kampung Bekor, dekat sini, lewat petang semalam.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya masih belum mendapat petunjuk lanjut mengenai pihak yang membuang tong-tong tersebut.
“Kita tetap cuba untuk mengenal pasti tetapi kita perlu segera menutup (kes ini) sebab bahan tersebut adalah berbahaya dan perlu dilupuskan.
"Dan untuk lupus itu, kita perlu dapat kebenaran daripada pihak mahkamah,” ujarnya.
Pada 1 Nov lalu, media melaporkan 33 tong bahan kimia ditemukan dibuang secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan lapang berhampiran RTC Gopeng, sehari sebelum itu.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikerahkan ke lokasi kejadian dibantu anggota dari BBP Simpang Pulai dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya dari BBP Pasir Puteh.
Pemeriksaan mendapati, semua tong telah bocor dan mengandungi 20 peratus cecair sisa berjadual.