Pembinaan tujuh RTB di Melaka babit peruntukan RM1.006 bilion - TPM Fadillah

Bernama
November 16, 2024 14:30 MYT
Fadillah (kanan) semasa sidang media pada majlis Penyerahan Projek-projek Siap Kepada Kerajaan Negeri Melaka di MPAG hari ini. Turut hadir Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri). -Bernama
ALOR GAJAH: Tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sedang dilaksanakan pembinaannya di Melaka membabitkan peruntukan berjumlah RM1.006 bilion, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ringkasan AI
  • Tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sedang dilaksanakan di Melaka dengan peruntukan RM1.006 bilion, termasuk RTB Alor Gajah Fasa 1 yang melibatkan RM30 juta.
  • Projek-projek ini bertujuan membina kolam takungan banjir, aliran air, dan benteng untuk melindungi kawasan rendah daripada banjir, dijangka siap pada Ogos 2025.
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan projek ini akan melindungi sekitar 1,270 penduduk dan meningkatkan keselamatan daripada banjir di kawasan terlibat.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi (PETRA) berkata antaranya membabitkan RTB Alor Gajah Fasa 1 di Kampung Tebat di sini, melibatkan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Beliau berkata projek berkenaan membabitkan beberapa skop seperti membina kolam takungan banjir dan aliran air bagi memudahkan aliran air ke sungai.
"Kemudian juga ada benteng-benteng yang akan dibina untuk mencegah kawasan rendah daripada limpahan air.
"Kalau siap projek ini, insya-Allah sasarannya untuk melindungi lebih kurang 1,270 penduduk di kawasan ini daripada banjir berdasarkan kajian yang kita buat," katanya kepada pemberita selepas meninjau RTB berkenaan bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Beliau berkata projek berkenaan bermula pada 16 Ogos 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2025 dan setakat ini berjalan lancar.
Enam lagi projek sama membabitkan RTB Sungai Melaka Fasa 1 di Durian Tunggal membabitkan kos RM40 juta; Projek Menaiktaraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai Kolam Dwi Fungsi untuk Tebatan Banjir dan Sumber Air Melaka (RM603 juta) dan RTB Sungai Duyong (RM163.8 juta).
Selain itu, RTB Bandar Merlimau (RM36 juta); RTB Bandar Jasin (RM60 juta) dan RTB Sungai Putat (RM72.83 juta).
Terdahulu, Fadillah menyaksikan Majlis Penyerahan Projek-projek Siap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Negeri Melaka di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Ia membabitkan lima projek melibatkan peruntukan berjumlah RM28.6 juta, merangkumi Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai di Melaka iaitu di Muara Sungai Baru dan Muara Sungai Punggor.
Selain itu, Projek Mencegah Hakisan Pantai Telok Gong, Kerja-kerja Pemasangan dan Naiktaraf Peralatan Mekanikal dan Elektrikal bagi Stesen Rangkaian Hidrologi Nasional (RHN) serta Projek Pembinaan Stesen Hidrologi Telemetri untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2.
-- BERNAMA
#Fadillah Yusof #RTB #Jabatan Pengairan dan Saliran #banjir
;