Pembinaan Tembok Laut Padang Kota Lama ambil kira aspek keselamatan

Bernama
Mei 18, 2022 12:51 MYT
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil kira aspek keselamatan ketika pembinaan tembok penahan ombak dan sesiaran pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama. - Gambar Facebook MBPP
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil kira aspek keselamatan ketika pembinaan tembok penahan ombak dan sesiaran pejalan kaki di Tembok Laut Padang Kota Lama, di sini termasuk persiaran teres bawah iaitu laluan bawah pejalan kaki yang ditutup sebelum ini berikutan air pasang besar 16 Mei lepas.
Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, selain itu persiaran teres bawah tersebut memang direka khusus bagi membolehkan air laut melalui kawasan tersebut sebagai tarikan kepada orang ramai dengan pihaknya telah mengambil kira aspek keselamatan pengunjung.
"MBPP ingin menegaskan bahawa projek itu turut mengambil kira elemen konservasi warisan yang amat penting bagi George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan malah MBPP juga memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut bagi memantau pengunjung dan keadaan air laut.
"Kami turut pasang pintu akses masuk ke persiaran teres bawah dan ia (pintu akses) ditutup bermula 9 malam hingga 7 pagi setiap hari, selain itu, pintu akses itu akan ditutup sekiranya berlaku cuaca yang tidak menentu dan buruk seperti ribut petir dan gelombang ribut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Tembok Laut Padang Kota, di sini hari ini.
Tinjauan itu dibuat berikutan timbul kontroversi selepas kawasan tersebut ditenggelami air laut dalam kejadian Isnin lepas dan menimbulkan pertikaian orang ramai berhubung isu keselamatan di situ.
Mengulas lanjut Yew berkata, persiaran teres bawah di tembok itu memang telah dijangka akan dipenuhi atau ditenggelami air laut semasa pasang purnama dan semasa air laut pasang seperti yang terjadi pada Isnin dan semalam, jadi tidak timbul isu mengenai kecacatan reka bentuknya.
Katanya, ia bukan merupakan fenomena luar biasa kerana jangkaan kawasan tersebut ditenggelami akibat air laut pasang akan berlaku pada hari-hari yang dapat diramal untuk jumlah kumulatif 30 hingga 45 hari setahun dengan maksimum dua hingga tiga jam.
"Kerja-kerja penyediaan dan pelaksanaan pembinaan bahagian teres bawah, cuaca, fenomena air pasang surut dan faktor lain telah diambil kira serta dipertimbangkan dengan teliti sebelum kerja tersebut dijalankan malah saliran turut diuji dan dinilai secara positif untuk bertahan dalam semua keadaan cuaca termasuk ribut atau air pasang surut yang luar biasa," katanya.
Katanya, persiaran teres bawah di tembok itu dibina dengan mengekalkan ciri-ciri sejarah dan warisan tembok tersebut yang asalnya dibina pada 1800-an termasuk mengekalkan bahan binaan di situ yang menggunakan batu granit serta mengukuhkan lagi tembok penahan ombak sedia ada yang telah usang dan meningkatkan kualiti ruang awam.
Projek yang menelan belanja RM12.9 juta itu merupakan inisiatif menaik taraf kawasan tersebut bagi menyediakan ruang awam berkualiti yang boleh diterima, menarik dan inklusif untuk semua pihak.
Pembangunan jajaran tembok laut itu termasuk ruang pejalan kaki adalah sepanjang 570 meter dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia dan ia dijalankan berdasarkan kajian secara menyeluruh selain ciri-ciri keselamatan di kawasan sekitar diutamakan. - BERNAMA
#Tembok Laut Padang Kota Lama #Majlis Bandaraya Pulau Pinang #tembok penahan ombak #sesiaran pejalan kaki
;