Pembinaan tambahan Rumah Aspirasi Rakyat pacu perumahan mampu milik

Bernama
September 7, 2016 07:48 MYT
Tiga projek pertama akan dibina di bandar Kuala Krai, Kota Bahru and Ketereh di Kelantan manakala bakinya di Sandakan (Sabah), Pekan (Pahang) serta Ampang (Selangor). - Gambar fail
Rancangan pembinaan 3,855 lagi unit Rumah Aspirasi Rakyat (RAR) bernilai RM744 juta di enam bandar di seluruh negara yang dijangka siap dalam masa empat tahun ini, sememangnya dinantikan mereka yang berhasrat memiliki rumah pada harga berpatutan.
Lebih menarik, unit-unit ini akan ditawarkan pada kadar 10-15 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Tiga projek pertama akan dibina di bandar Kuala Krai, Kota Bahru and Ketereh di Kelantan manakala bakinya di Sandakan (Sabah), Pekan (Pahang) serta Ampang (Selangor).
Malah, projek di Kota Bharu, Ampang serta Pekan akan dimulakan dalam masa enam bulan akan datang.
NWP Builder Sdn Bhd yang juga entiti pembinaan NWP Holdings Bhd serta M2B World (M) Sdn Bhd, memeterai perjanjian pembinaan siap atau 'turnkey' bagi pembinaan enam projek RAR, termasuk rumah bertanah dan pangsapuri.
Kedua-dua pihak terbabit iaitu NWP Builder dipilih sebagai kontraktor projek manakala M2B World merupakan kontraktor 'turnkey.'
"Projek ini adalah teras bagi mempelbagaikan perniagaan syarikat serta menyediakan sumber pendapatan alternatif untuk kumpulan ini," kata Pengarah NWP Holdings Prof Datuk Dr Dominic Lau kepada wartawan selepas majlis pemeteraian itu, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif M2B World, Datuk Sunny Ung pula menyifatkan rumah-rumah berkenaan yang akan dibina di tanah berkeluasan 400 ekar (161.8 hektar), adalah 10-15 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Menurutnya, skim Rumah Aspirasi Rakyat itu dibiayai oleh kerajaan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) manakala kos dana dan infrastrukturnya juga rendah dan menjadikannya harganya lebih berpatutan.
"Lima daripada projek itu dimiliki oleh Syarikat Perumahan Negara Malaysia manakala di Ketereh dimiliki oleh Perbadanan PRIMA Malaysia," katanya.
#Kota Bharu #M2B World (M) Sdn Bhd #NWP Holdings Sdn Bhd #Rumah Aspirasi Rakyat
;