Pembinaan RTS Link Johor Bahru-Singapura bagi kerja infrastruktur capai 95 peratus

Bernama
Disember 12, 2024 13:22 MYT
Hasbi (foto) berkata kerja-kerja pemasangan komponen sistem lain, seperti stok kereta (rolling stock), isyarat, bekalan kuasa, pengagihan dan telekomunikasi telah mula dilaksanakan pada bulan ini. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura berjalan mengikut jadual dengan tahap kemajuan mencapai 95 peratus bagi kerja-kerja infrastruktur setakat November lepas.

Ringkasan AI
  • Pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor BahruSingapura berjalan mengikut jadual dengan kemajuan mencapai 95% bagi kerja-kerja infrastruktur setakat November lepas.
  • Kerja-kerja pemasangan komponen sistem lain seperti stok kereta, isyarat, bekalan kuasa, pengagihan, dan telekomunikasi telah mula dilaksanakan pada bulan ini.
  • Perkhidmatan RTS Link dijangka boleh menampung hingga 100,000 penumpang sehari dengan kekerapan tren 3.6 minit pada waktu puncak.
  • Operasi dijangka bermula pada 31 Disember 2026, dengan anggaran 30,000 hingga 40,000 penumpang sehari pada tahun pertama operasi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kerja-kerja pemasangan komponen sistem lain, seperti stok kereta (rolling stock), isyarat, bekalan kuasa, pengagihan dan telekomunikasi telah mula dilaksanakan pada bulan ini.
“Setakat ini, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.5 bilion untuk kerja-kerja penyiapan infrastruktur sivil projek RTS di bahagian Malaysia.
“Kos sebanyak RM5.2 bilion telah diperuntukkan bagi keseluruhan projek untuk bahagian Malaysia sehingga siap dibina,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Halim Suleiman yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini projek RTS Link.
Hasbi berkata perkhidmatan RTS Link boleh menampung hingga 100,000 penumpang sehari (maksimum) dengan kekerapan tren 3.6 minit pada waktu puncak.
Beliau berkata dianggarkan sebanyak 30,000 hingga 40,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan RTS pada tahun pertama operasi yang dijangka bermula pada 31 Dis 2026.
Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS) sebagai InfraCo Malaysia katanya, telah memberikan akses awal kepada RTS Operation Pte Ltd (RTSO), iaitu pengendali operasi di Depoh Wadi Hana pada 30 Sept lepas bagi memulakan kerja-kerja pemasangan landasan kereta api.
-- BERNAMA
#Hasbi Habibollah #landasan kereta api #RTS Link #Johor Bahru-Singapura
;