Pembinaan pusat hemodialisis di Felda bantu peneroka jimat kos rawatan

Bernama
Julai 10, 2023 09:02 MYT
Pembinaan pusat hemodialisis di semua wilayah Felda dilihat sebagai satu keperluan berikutan jumlah pesakit dalam kalangan peneroka yang semakin bertambah. - Gambar fail BERNAMA
KUANTAN: Pembinaan pusat hemodialisis di semua wilayah Felda dilihat sebagai satu keperluan berikutan jumlah pesakit dalam kalangan peneroka yang semakin bertambah selain membantu meringankan beban kewangan ditanggung setiap kali mendapatkan rawatan di hospital yang terletak agak jauh dari tanah rancangan.
Ketua Peneroka Felda Chini Timur 3 di Pekan, Zaid Sidek, 60, berharap Felda Gugusan Chini antara yang terpilih untuk menikmati kemudahan itu memandangkan ada pesakit buah pinggang kronik di situ perlu menempuh perjalanan lebih 50 kilometer (km) sehala ke Hospital Muadzam Shah, Rompin bagi rawatan dialisis.
"Rawatan pula tiga kali seminggu, bermaksud jumlah kos yang dikeluarkan untuk petrol bagi mereka yang menggunakan kenderaan sendiri juga tinggi. Kalau dapat dibuat sebuah (pusat hemodialisis) di sini, kos tersebut dapat dijimatkan.
"Kos (perjalanan) itu, kalau dikumpul-kumpul setiap minggu dan bulan, besar jumlahnya kerana ini rawatan berterusan... untuk kami, wang itu boleh digunakan untuk keperluan penting lain seperti belanja dapur," katanya semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Peneroka Felda 2023 Peringkat Kebangsaan di Serdang, Selangor pada Jumaat lepas (7 Julai), mengumumkan pembinaan 12 pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di semua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda.
Peneroka Felda Chini 5 juga di Pekan, Hasnah Abdul Ghani, 63, pula berpandangan kewujudan pusat hemodialisis di semua wilayah Felda memang amat diperlukan kerana jumlah mereka yang memerlukan rawatan itu semakin bertambah disebabkan faktor usia.
Hasnah yang menyertai tanah rancangan itu pada 1983 berkata, ada individu dikenalinya perlu ke Hospital Pekan yang terletak lebih 60 kilometer untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut yang dilihat agak menyukarkan golongan warga emas.
"Orang usia seperti kami mengharapkan bantuan orang lain apabila melibatkan perjalanan jauh dan biasanya anak-anaklah yang menghantar untuk mendapatkan rawatan. Jika ada pusat hemodialisis yang berhampiran, mudah untuk mereka hantar dan ambil terutama untuk anak-anak yang bekerja sendiri kerana pendapatan mengikut hari.
"Tapi kalau seharian dah digunakan untuk ke hospital, hilanglah pendapatan untuk hari itu. Kalau tempatnya (pusat hemodialisis) dekat, mereka boleh kembali bekerja sementara menunggu rawatan selesai kerana ia mengambil masa empat jam," katanya yang tidak memerlukan rawatan berkenaan.
Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut di Bentong, Mohd Asri Lazim, 38, berkata, langkah proaktif itu menunjukkan kerajaan mengambil berat kesihatan golongan peneroka sekali gus menghargai pengorbanan generasi pertama yang rata-ratanya sudah mencapai status warga emas.
"Pembinaan pusat hemodialisis memang berita gembira untuk generasi pertama kerana kesihatan perkara penting pada usia emas. Generasi pertama yang bersusah payah meneroka hutan dan membersih tanah untuk membuka ladang.
"Memang elok jika pengorbanan mereka dibalas dengan memudahkan urusan kesihatan mereka pada usia begini dan kemudahan itu apabila disediakan, memang ada penggunanya," katanya.
Generasi kedua Felda Keratong 5 di Rompin, Mohd Sahrin Abdullah, 45, pula berpandangan pusat hemodialisis boleh diwujudkan dengan menaik taraf klinik kesihatan sedia ada di kawasan Felda, yang dilihat sangat praktikal kerana mudah diakses semua penduduk.
"Semakin tua, semakin ramai yang disahkan mengidap penyakit tiga serangkai. Mudah kalau rawatan yang diperlukan ada dalam kawasan Felda dan tak perlu lagi keluar jauh. Tambahan pula, apabila baru habis rawatan, fizikal (pesakit) tidak berapa kuat.
"Kasihan melihat mereka khususnya yang tua yang perlu menempuh perjalanan berpuluh kilometer setiap kali menjalani rawatan hemodialisis," katanya.
Sementara itu, Mohamad Shofi Mat Isa, 39, yang merupakan generasi kedua Felda Hilir 3 di Kuantan, berpandangan kewujudan pusat hemodialisis di tanah rancangan dapat membantu mengurangkan jumlah mereka yang menjalani rawatan itu di hospital kerajaan.
Selain Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, beliau berkata, alternatif lain bagi rawatan dialisis ialah di pusat rawatan swasta yang terletak di atau berhampiran bandar Kuantan, lebih 30 km daripada felda tersebut.
"Tapi sudah pasti ramai yang ke fasiliti kerajaan kerana kos di (pusat hemodialisis) swasta beratus ringgit untuk kos sekali rawatan. Tidak semua berkemampuan mengeluarkan belanja yang mencecah ribuan ringgit setiap bulan kerana rawatannya bukan sekali seminggu.
"Kita tahu jumlah pesakit kronik buah pinggang semakin ramai setiap tahun. Jika peneroka menjalani rawatan di Felda, kuota pesakit di hospital boleh diberikan kepada golongan lain terutamanya golongan B40 atau M40 di kawasan bandar," katanya. - BERNAMA
#Felda #pusat hemodialisis #peneroka #pesakit buah pinggang kronik
;