Pembinaan MRT mampu jana ekonomi golongan muda
Aizat Sharif
Disember 8, 2013 08:00 MYT
Disember 8, 2013 08:00 MYT
Selain penjanaan ekonomi, setiap pembangunan bandar seperti projek 'Mass Rapid Transit atau MRT yang dirancang oleh kerajaan akan menjimatkan perbelanjaan bulanan masyarakat dalam menggunakan pengangkutan awam.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani berkata sememangnya setiap pembangunan yang dilakukan itu akan menghasilkan suatu kekuatan ekonomi yang dijana di sesuatu tempat itu.
"Saya ambil contoh dengan pembinaan projek pengangkutan 'Mass Rapid Transit' atau MRT. Sebenarnya tanpa kita sedar apabila kita mampu membina rangkaian MRT, kita tidak boleh melihat projek MRT ini sekadar hanya satu pengangkutan awam sahaja kerana apabila MRT yang dibina itu ianya akan mempunyai setiap stesen-stesen perhentiannya," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Agenda Awani terbitan Astro AWANI sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa menambah dalam 35 stesen-stesen MRT ini, akan ada yang dibina di kawasan-kawasan bandar.
"Penduduk terutama golongan-golongan muda yang baru menceburi alam pekerjaan dan tinggal berdekatan akan menggunakan stesen-stesen tersebut dan jikalau kita 'zoning' stesen-stesen ini dan melakukan satu perancangan jangkamasa panjang seperti pembinaan rumah mampu milik ianya akan memberi makna ekonomi kepada masyarakat yang tinggal berdekatan dengan stesen-stesen itu," katanya.
"Mungkin idea rumah mampu milik ini dilihat sebagai 'straight forward' tetapi jika rumah mampu milik ini dibina agak jauh dari kawasan stesen-stesen MRT ini ianya tidak akan bermakna kepada penduduk tetapi kalau ianya dibina berdekatan dengan stesen MRT ini, kita dapat lihat kesannya.
Beliau memberi contoh, jika seseorang penduduk yang tinggal di kawasan rumah mampu milik berdekatan stesen MRT itu berpendapatan bulanan sebanyak RM2000, maka dia tidak perlu membeli kereta.
"Bila dia tidak membeli kereta, 'installment' bulanan sebanyak RM800 sebulan tidak perlu dibayar, perbelanjaan petrol sebanyak RM400 tidak perlu dikeluarkan dan ini bermakna jika kemudahan-kemudahan pengangkutan ini dapat digunakan secara jangka masa panjang ianya dapat menjimatkan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM700-RM800. Sistem ini juga sangat menyenangkan, menjimatkan masa," kata Johari.
Malah, menurutnya lagi, perbelanjaan yang dijimatkan itu sebenarnya boleh membantu mengatasi berkaitan dengan subsidi yang telah ditarik balik oleh kerajaan ini.
Oleh hal demikian, beliau menekankan bahawa segala dasar-dasar yang dibawakan oleh UMNO dan Barisan Nasional perlulah selari dengan masyarakat umum terutamanya kepada golongan muda dan sekiranya dasar-dasar itu agak menyusahkan masyarakat maka beliau akan terus bersuara demi kesejahteraan rakyat.