Pembinaan menara telekomunikasi cetus gelombang perniagaan dalam talian

Bernama
September 19, 2023 11:10 MYT
Pemandangan dari udara sebuah menara telekomunikasi baharu yang siap dibina dan boleh beroperasi di Segantang Garam. Sebanyak 67 menara telekomunikasi baharu dibina di Kedah yang dilaksanakan menerusi JENDELA. - Gambar BERNAMA
SUNGAI PETANI: Akses kepada Internet yang lebih meluas hasil pembinaan menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Kampung Sungkup, dekat sini, mencetuskan gelombang perniagaan dalam talian dalam kalangan penduduk setempat.
Seorang penduduk kampung Siti Zauyah Chik, 51, berkata, ketika memulakan perniagaan "Pekasam Kak Yah" tujuh tahun lepas, dia banyak bergantung kepada kedai sekitar untuk memasarkan produknya.
"Selain letak di kedai-kedai, saya buat jualan di rumah dan turut menjual kepada rakan... susah nak buat promosi menerusi Internet ketika itu kerana rumah saya terletak jauh di pedalaman.
"Kemudian bila ada liputan Internet, saya banyak menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mempromosikan ikan pekasam, membalas pertanyaan dan berurusan dengan pelanggan," katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Kuala Sungkup baru-baru ini.
Menurut Siti Zauyah, capaian Internet yang stabil dapat menjimatkan masa dan tenaganya kerana pembelian ikan segar untuk dibuat pekasam boleh dilakukan dari jauh serta hanya menunggu bekalan tiba di rumah.
Peniaga pakaian terpakai, Siti Nor Syaabani Ahmad Sabri, 23, berkata, dia kini mahu kembali aktif menjalankan perniagaan secara dalam talian selepas lebih setahun terhenti.
"Saya mulakan perniagaan ini pada 2021. Sewaktu COVID-19 menular, saya buat 'live' (siaran langsung) menerusi media sosial di rumah ayah saya (Ahmad Sabri Yusop), namun tidak dapat bertahan lama disebabkan capaian Internet yang lemah.
"Dulu nak buat panggilan video dari rumah ayah (Kampung Sungkup) pun susah... sekarang bila Internet dah laju, saya memang mahu aktif kembali menjalankan perniagaan 'bundle' (pakaian terpakai) dalam talian," katanya.
Ahmad Sabri, 59, pula berkata dia selalu melihat anaknya mencari liputan Internet di merata tempat sama ada di dalam atau luar rumah bagi mempromosikan jualan menerusi media sosial.
"Bila balik ke kampung dia (Siti Nor Syaabani) akan cari 'line' (liputan Internet) dari satu bilik ke satu bilik yang lain atau terpaksa keluar ke halaman rumah. Sekarang bila liputan semakin baik, mudah untuk dia kembali meneruskan perniagaannya," katanya.
Seorang lagi penduduk Kampung Sungkup, Azizun Awang, 60, berkata, dia baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang pemasaran dalam talian atau 'affiliate marketing'.
"Zaman sekarang khususnya selepas negara dilanda COVID-19, ramai usahawan dan peniaga yang berjualan secara dalam talian, sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.
"Bukan semua peniaga mempunyai masa untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka dalam Internet dan di sinilah 'affiliate' memainkan peranan untuk membantu mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Kedah, Mohd Faizal Azizan berkata, akses Internet menjadi pemangkin minat penduduk Kampung Sungkup terhadap aktiviti perniagaan.
"Sebelum ini, kualiti liputan di kampung ini lemah, namun kini menjadi semakin lancar malah peluang penduduk menjana ekonomi juga terbuka luas," katanya dan menambah menara baharu berkenaan mula dibina pada tahun lepas selepas dikesan perlunya penambahbaikan liputan 4G di kampung tersebut.
Menurut Mohd Faizal, sejak menara itu beroperasi Jun lepas, pihaknya sering melakukan tinjauan di kampung itu dan mendapati penduduk terutama yang berniaga mula berminat meneroka peluang perniagaan mengikut rentak ekonomi digital.
"Liputan daripada menara ini memanfaatkan kira-kira 600 penduduk dan saya harap ia dapat meningkatkan sosioekonomi kawasan ini," katanya. - BERNAMA
#JENDELA #akses internet #gelombang perniagaan #Kampung Sungkup Sungai Petani
;