Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah lebih perlahan berbanding Sarawak - PM

Ridauddin Daud
Oktober 10, 2023 13:35 MYT
Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan juga diarahkan untuk memastikan penyaluran peruntukan dapat dipercepatkan bagi pembinaan lebuh raya itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah lebih perlahan berbanding di Sarawak.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengambil peranan untuk memastikan projek pembinaan tersebut berjalan dengan lancar.
Tambah beliau, Kementerian Kewangan juga diarahkan untuk memastikan penyaluran peruntukan dapat dipercepatkan.
"Saya setuju Pan Borneo Sarawak hampir siap, tapi Sabah amat perlahan jadi tugas TPM II adalah untuk menyegerakannya.
“Kementerian Kewangan setuju untuk ‘fast track’ asalkan ada proses tender terutama untuk kawasan Sabah kerana Pan Borneo ini berpuluh tahun tertangguh... peruntukan ada.
"Oleh kerana kita sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak jadi tidak alasan kita lengahkan malah dalam Kembara Kenali Borneo ada dibangkitkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," ujarnya.
Beliau juga mengingatkan agensi penguatkuasa perlu tegas memastikan tiada unsur rasuah dan ketirisan dalam projek pembinaan lebuh raya tersebut.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan - Semporna) yang bertanyakan langkah diambil kerajaan untuk memastikan rancangan pembangunan projek Pan Borneo tidak terbantut kerana ketirisan.
#Anwar Ibrahim #Fadillah Yusof #Lebuhraya Pan Borneo #Sabah dan Sarawak
;