Pembinaan lebuh raya WISE Gopeng-Kuala Kangsar diluluskan - Saarani
Sinar Harian
Disember 14, 2023 12:40 MYT
Disember 14, 2023 12:40 MYT
IPOH: Kerajaan telah meluluskan cadangan pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sepanjang 60 kilometer.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kelulusan itu dipersetujui Kabinet pada Rabu dan akan dibangunkan bersama syarikat konsesi secara inisiatif kewangan swasta (PFI).
"Projek ini dilakukan secara PFI tanpa menggunakan duit kerajaan.
"Saya difahamkan, cadangan laluan itu telahpun disiapkan dan saya dah pun minta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk mempermudahkan segala urusan bagi mempercepatkan pembinaannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Institut Asia-Eropah (AEI) Universiti Malaya, Profesor Datuk R Rajah yang menyampaikan ucaptama.
Program itu membahaskan peluang dan isu-isu yang perlu diberi perhatian sewajarnya, selain mencari pendekatan amalan terbaik dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi menjayakan pelaksanaan Perak Sejahtera 2030.
Mengulas lanjut Saarani berkata, pembinaan WISE akan menjadi pelengkap kepada jajaran lebuh raya di Perak yang sering berdepan kesesakan yang teruk terutama di laluan berhampiran Terowong Menora.
Katanya, buat masa ini, pengguna jalan raya tidak mempunyai pilihan laluan lain, melainkan terpaksa menggunakan jalan lama antara Sungai Siput dan Chemor.
"Kalau tersangkut akibat kemalangan di terowong atau di bawah sana (jalan biasa), orang tidak ada pilihan dah.
"Tetapi dengan adanya WISE, mereka boleh ambil laluan dari Kuala Kangsar terus ke Gopeng atau yang dari utara keluar Changkat Jering dan ambil laluan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE)," katanya.
Tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan cadangan membina jalan pintas itu kepada kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan selain sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa.
Pelaksanaan projek berkenaan akan membabitkan kajian berhubung alam sekitar, impak sosial dan kajian trafik. - Sinar Harian