Pembinaan lebuh raya: KKR sedia tambah baik SOP elak kejadian buruk

Hasimi Muhamad
Julai 16, 2024 02:55 MYT
Nanta berkata, KKR juga bersedia mendedahkan laporan kajian insiden jika ia melibatkan kemalangan berskala besar dan meragut nyawa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti keperluan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pembinaan lebuh raya di laluan awam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini atau merisikokan pengguna jalan raya.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR akan sentiasa berusaha menyesuaikan SOP agar ia benar-benar memberi impak untuk menghindari kesan buruk melibatkan pelaksanaan mana-mana projek.
"SOP ini adalah satu garis panduan supaya kita menggunakan cara yang terbaik. Sebab itu, ia (SOP) dinamik dan bukan mati di situ sahaja.
"Kalau Yang Berhormat ada cadangan, kemukakan kepada kami dan mungkin kita boleh lihat kalau itu boleh diambil sebagai penambahbaikan proses SOP kita," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang bertanya adakah kerajaan bercadang untuk memperkemaskan SOP khususnya aspek keselamatan bagi projek pembinaan berhampiran dengan laluan awam.
Selain itu, beliau turut meminta penjelasan sama ada pihak kerajaan akan mendedahkan laporan siasatan insiden kepada umum.
Menjawab lanjut, Nanta berkata, kementeriannya bersedia untuk mendedahkan laporan kajian insiden jika ia melibatkan kemalangan berskala besar dan meragut nyawa.
"Itu tanggungjawab kita untuk mendedahkan kajian atau apa-apa dapatan daripada kajian ataupun siasatan kepada kes itu.
"Ia adalah kewajipan moral untuk memaklumkan kepada awam. Namun jika insiden tersebut melibatkan kerosakan yang kecil, mungkin ia tidak perlu," ujarnya.
Dalam kejadian pada Mac 2021, tiga pekerja warga asing maut sementara seorang pemandu kenderaan cedera apabila satu daripada komponen kren gantri melibatkan pembinaan sebuah lebuh raya terjatuh serta menghempap sebuah kenderaan di kawasan pembinaan tersebut.
#Alexander Nanta Linggi #lebuh raya #SOP #Dewan Rakyat