Pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman tertakluk kepada hasil beberapa kajian teknikal
Firdaus Azil
Ogos 3, 2022 12:00 MYT
Ogos 3, 2022 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat secara dasarnya bersetuju dengan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, persetujuan itu dicapai sewaktu Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-36 (Bil.3/2020) pada27 Oktober 2020.
Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu lagi, kelulusan pembinaan tersebut tertakluk kepada keperluan untuk menyediakan beberapa laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (ElA), Laporan Penilaian ImpakSosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Marine Risk Assessment, Coral Mapping Studie, dan Land-Disturbing Pollution and Mitigation Measures.
“Kementerian Pengangkutan ingin menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada kelulusan diberikan untuk menubuhkan aerodrom berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu, seperti mana di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016.
“Dalam hubungan ini, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman yang baharu juga adalah tertakluk kepada hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang telah bermula pada Mac 2022 lalu.
“Kajian ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan dan meliputi kesemua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan-lapangan terbang baharu,” katanya lagi.
Wee berkata demikian ketika menjawab soalan Anthony Loke Siew Fook (PH - Seremban) sama ada Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu yang dicadangkan oleh sebuah syarikat swasta telah mendapat kelulusan dasar dari Kerajaan.
Selain itu Loke juga mahu mengetahui jika projek tersebut berdaya saing dan memenuhi kriteria kelestarian alam sekitar.
Mengulas lanjut, Wee berkata, penentuan kriteria kelestarian alam sekitar ke atas cadangan projek itu sedang dalam penelitian pihak Jabatan Alam Sekitar
“Oleh yang demikian, kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan Lapangan Terbang Pulau Tioman baharu hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP telah disiapkan, serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti mana yang dinyatakan dalam laporan-laporan teknikal tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wee berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk membuat lapangan terbang baharu di Johor, atau meningkatkan lagi kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Kalau mengikut impian kita, 10 peratus penumpang di trafik ada di Changi (Singapura), kalau kita dapat menarik masuk ke Johor itu adalah cadangan terbaik.
“Tetapi dari segi kapasiti, kita melihat Lapangan Terbang Senai, jauh mencukupi. Jadi belum ada keperluan. Kita tidak boleh membina lapangan terbang seperti tempat meletak kereta. Pertama kita kena lihat ruang udara, dan kesalinghubungan antara satu tempat ke tempat lain,” jelasnya lagi.