Pembinaan KXP bertujuan bantu Pulau Pinang - Mukhriz

Astro Awani
Mei 2, 2019 21:35 MYT
MUKHRIZ: Saya harap Pulau Pinang tidak terancam dengan keputusan kerajaan negeri Kedah. - Gambar fail
Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharap tidak terancam dengan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) berikutan pembinaannya merupakan pelengkap kepada perkhidmatan kargo di wilayah utara.
Memberi jaminan tersebut, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pembinaan KXP dijangka mengukuhkan keyakinan pelabur asing di negeri-negeri utara, dengan penawaran perkhidmatan kargo dari dua lapangan terbang itu.
"Ia umpama mencapai titik pertemuan antara kepentingan kedua-dua negeri, termasuk seluruh wilayah utara, untuk terus maju.
"Isu yang sama kita akan bangkitkan kalau perkhidmatan kargo seluruh wilayah utara tidak dapat ditangani dengan baik melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP)," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang melihat KXP bukan sebagai pelengkap tetapi sebagai pesaing dalam mendapatkan syarikat bagi menggunakan perkhidmatan kargo di Koridor Utara.
Tujuan pembinaan KXP adalah untuk membantu Pulau Pinang, kata Mukhriz.
"Jadi, kita harap dengan adanya kemudahan itu, kita tidak akan biarkan masalah kapasiti kargo itu berlarutan tanpa penyelesaian," tambahnya.
Terdahulu hari ini, menjawab soalan A Kumaresan (PH-Batu Uban) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Chow berkata KXP akan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di LTAPP, termasuk mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang.
Mukhriz berkata, kerajaan negeri sangat memandang serius isu penawaran kapasiti kargo di LTAPP dan tidak mahu masalah itu berlarutan tanpa penyelesaian jangka panjang.
Justeru, katanya, KXP adalah jalan penyelesaian terbaik.
"Jadi, kami bertekad untuk tumpu kepada kargo sahaja, bukan penumpang. Kita harap dengan adanya perkhidmatan kargo di KXP, akan membantu seluruh wilayah utara, termasuk Pulau Pinang.
"Oleh itu, saya harap Pulau Pinang tidak terancam dengan keputusan kerajaan negeri ini," katanya.
#Chow Kon Yeow #FDI #Kedah #KXP #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang #Lapangan Terbang Kulim #Mukhriz Mahathir #pelabur asing #pelaburan #pelengkap #perkhidmatan kargo #pesaing #pulau pinang #Utara
;