Pembinaan KSSA: Selangor teliti tapak untuk proses pertukaran tanah biaya kos

Bernama
Mac 14, 2023 16:33 MYT
Pulau Carey tidak termasuk dalam senarai berkenaan, kerana kerajaan negeri ingin menumpukan kawasan itu bagi pembinaan pelabuhan ketiga di Selangor dan projek IDRISS. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang meneliti beberapa pilihan tapak tanah di Klang dan Hulu Selangor, sebagai proses pertukaran tanah untuk membiayai kos pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), yang dijangka akan diumumkan pada bulan depan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri ketika ini sedang melihat kos keseluruhan pembinaan KSSA dan penelitian terhadap kawasan yang akan dilakukan secara pertukaran tanah itu perlulah sama nilainya dengan kos keseluruhan kompleks itu.
"Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Datuk Haris Kasim) ada berjumpa pihak terbabit berhubung pemilihan tanah untuk kita gantikan serta penelitian kos (pembinaan KSSA). Jadi saya ingat sekitar April atau selepas Hari Raya, kita akan isytihar di mana tapak (untuk pertukaran tanah) dan kos keseluruhan berkenaan susun atur dan pelan projek ini," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa) sama ada kawasan di Pulau Carey, Kuala Langat termasuk dalam penelitian kerajaan negeri untuk dilakukan pertukaran tanah bagi membiayai KSSA dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Amirudin berkata kawasan Pulau Carey tidak termasuk dalam senarai berkenaan, kerana kerajaan negeri ingin menumpukan kawasan itu bagi pembinaan pelabuhan ketiga di Selangor dan projek Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).
"Kita hanya ada sekitar 404.69 hektar tanah milik Yayasan Selangor (di Pulau Carey) dan nilai itu (untuk pertukaran tanah) tidak mencukupi," kata Amirudin.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Pameran KSSA anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor bulan lalu, menerima puluhan ribu pandangan serta cadangan sepanjang penganjuran pameran dari 26 Jan hingga 10 Feb lalu.
"Secara asas, 50 peratus kawasan akan dibangunkan dengan kemudahan sukan, 30 peratus dijadikan taman dan kawasan hijau dan selebihnya untuk utiliti dan komersial yang diurus kerajaan negeri.
"Kita sedang bincang dan lihat kos keseluruhan termasuk pertukaran tanah kerana tidak mahu kacau tanah berhampiran. Mulai April, kebenaran merancang boleh dihantar untuk kita mulakan proses pembinaan," katanya.
-- BERNAMA
#IDRISS #KSSA #komersial #proses pembinaan
;