Pembinaan kondominium di Kampung Baru merupakan asas memastikan pembangunan seimbang Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Bharu (PITPKB)

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia sekali gus menjadi penggerak pembangunan lain di sekitar ibu kota.

"Pembinaan sebanyak 643 unit kondominium dan ruang pejabat setinggi 27 tingkat di Kampung Baru merupakan permulaan baik pembangunan di sana.

"Saya difahamkan pihak UDA sedang mengenal pasti tanah di Kampung Baru untuk dipertimbangkan rumah golongan pendapatan rendah. Kemudian projek seterusnya disasarkan kepada yang pendapatan rendah.

"Sejumlah 300 ekar tanah di Kampung Baru ini nanti boleh diduduki oleh semua golongan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Majlis Mesra Rakyat 'Kampong Bharu, Legasi Baharu' pada Ahad untuk berkongsi perkembangan terkini pelaksanaan PITPKB.

Selain itu, Najib akan menyampaikan cek sumbangan kepada penduduk yang terlibat dengan kes tanah mendap di Kampong Pindah dan majlis pecah tanah projek Legasi Residen oleh UDA Holdings Berhad.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, pembangunan di Kampung Baru bukti kerjasama Perbadanan Kampung Baru (PKB) dengan penduduk di sana.

"Ini langkah baik melibatkan rancangan PKB, pada waktu sama juga kami fikirkan langkah baik, kita mulakan di kawasan pasar minggu dan kita harapkan dengan PKB sentiasa bekerjasama dengan MAS," jelasnya.

Sebelum ini, laporan memberitahu, penggubalan PITPKB memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru tidak akan meminggir atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan.

Ia berasaskan faktor sebelum ini yang melibatkan proses ketat serta melalui beberapa siri perbincangan bersama pemilik dan pewaris tanah.