Pembinaan jambatan tinggi dalam projek RTS dimuktamad tahun depan - PM Najib

Bernama
Disember 13, 2016 06:06 MYT
Datuk Seri Najib Razak dan Lee Hsien Loong pada majlis menandatangani perjanjian dua hala bagi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di Putrajaya pada Selasa. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Pembinaan jambatan tinggi yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di bawah projek Sistem Transit Pantas (RTS) Johor Bahru-Singapura, merupakan antara perkara penting yang dicapai pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ketujuh di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jambatan berkenaan dan RTS, yang akan menambah baik hubungan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan, akan dimuktamadkan oleh kedua-dua negara pada akhir tahun depan.
Beliau berkata penyelesaian tersebut merupakan antara perkara yang dibincangkan pemimpin kedua-dua negara.
"Kami berpendapat ia adalah penyelesaian yang paling kos efektif, sebab itulah kita memikirkan tentang penyelesaian jambatan tinggi untuk mengintegrasikannya dengan sistem transit aliran massa Singapura.
"Pada tahun depan, kita akan dapat memuktamadkannya," kata beliau pada sidang akhbar bersama selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dua hala bagi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di sini Selasa.
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong turut hadir pada sidang akhbar itu.
Dalam satu kenyataan bersama, pemimpin-pemimpin itu menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam projek RTS Johor Bahru-Singapura di bawah Transportation Links Work Group dan mengesahkan bidang utama perjanjian yang dicapai setakat ini.
Apabila siap kelak, sambungan RTS itu akan meningkatkan hubungan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan, katanya.
RTS akan menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru di Malaysia dan Woodlands North di Singapura di mana penumpang boleh meneruskan perjalanan menggunakan laluan Thomson-East Coast Line di Singapura.
RTS akan menggunakan empat teras sistem Thomson-East Coast Line untuk meraih faedah ekonomi dan akan dikendalikan oleh sebuah entiti korporat.
Tambang bagi RTS itu akan berdasarkan pasaran dan ditetapkan oleh pengendali serta tidak akan dikawal selia oleh kerajaan-kerajaan, kata kenyataan itu.
Pemimpin kedua-dua negara berharap dapat menandatangani perjanjian dua hala bagi RTS berkenaan pada akhir 2017.
Sementara itu, perjanjian HSR yang ditandatangani hari ini memuktamadkan kerangka kerja peraturan, teknikal, keselamatan dan keperluan keselamatan, perdagangan, kewangan dan perolehan serta kastam, imigresen dan kuarantin bagi projek tersebut. - Bernama
#jambatan tinggi #Johor Bahru #Lee Hsien Loong #Najib Razak #Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura #RTS #Singapura
;