Pembinaan jalan di CIQ Serudong hubungkan Kalabakan dengan Kalimantan, Indonesia
Bernama
Februari 17, 2024 06:15 MYT
Februari 17, 2024 06:15 MYT
TAWAU: Kemudahan jalan raya untuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Serudong di Kalabakan kini dalam pembinaan serta hampir siap, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya.
Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata ia adalah fasa pertama dalam langkah penting bagi menghubungkan jalan raya sempadan di Kalabakan, Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.
"Fasa pertama itu membabitkan pembinaan jalan konkrit, melakukan pembersihan tapak dan juga sistem perparitan. Kita sedang menanti fasa kedua," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Harapan Rakyat Sabah di sini semalam.
Bagaimanapun, beliau kini menunggu laporan terperinci jalan terlibat termasuk yang sedang dibina.
Sebelum ini, Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy meminta kerajaan menyegerakan pembinaan CIQ Serudong termasuk kemudahan jalan raya susulan pembangunan Kalimantan Timur sebagai ibu negara baharu Indonesia.
Shahelmey juga berkata sambutan rumah terbuka perayaan yang turut diraikan pelbagai kaum berupaya mengukuhkan perpaduan dan keharmonian di Sabah.
Lebih 3,000 penduduk serta Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni hadir pada majlis itu, yang turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian singa.
-- BERNAMA