Pembinaan ICQS Bukit Berapit baharu dimuktamad bulan depan
Bernama
April 15, 2024 18:30 MYT
April 15, 2024 18:30 MYT
GERIK: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Perak akan memuktamadkan perbincangan mengenai pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit yang baharu di Pengkalan Hulu, pada Mei ini.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata buat masa ini perbincangan tertumpu kepada beberapa isu teknikal membabitkan lokasi, keluasan serta kos pembinaan.
"Secara prinsipnya kita (KDN) telah bersetuju dan proses perbincangan masih berjalan antara pihak KDN dan kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
"Antara diberi tumpuan adalah tentang beberapa lokasi ditawarkan kerajaan negeri di sekitar pintu sempadan.
"Jadi saya percaya usaha-usaha (perbincangan) sedang dibuat dengan lebih berkesan," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu dan Pesara Polis di sini hari ini.
Pada 19 April tahun lepas, KDN telah bersetuju untuk memindahkan ICQS Bukit Berapit di lokasi baharu memandangkan kedudukan ICQS sedia ada disifatkan agak jauh dari pintu sempadan antarabangsa.
Sementara itu Shamsul berkata pembinaan ICQS yang baharu nanti dilihat satu langkah tepat bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dengan lebih efisien.
"Lokasi ICQS sedia ada agak jauh daripada pintu sempadan iaitu sekitar 700 meter. Jadi, ada keperluan untuk kita dekatkan bagi mengelak pembolosan aktiviti penyeludupan sama ada dari negeri ke luar atau dari luar ke negeri ini," katanya.
Selain itu, beliau berkata dengan pembinaan kemudahan di lokasi baharu nanti akan memberi peluang atau nilai tambah dalam meningkatkan sektor ekonomi penduduk setempat.
-- BERNAMA
#ICQS Bukit Berapit
#Kementerian Dalam Negeri
#Shamsul Anuar Nasarah
#Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan