Pembinaan Hard Rock Cafe, hotel di PD diteruskan - Anwar
Bernama
Mei 19, 2019 20:34 MYT
Mei 19, 2019 20:34 MYT
Projek pembinaan Hard Rock Cafe dan Hard Rock Hotel akan diteruskan dan pembinaannya dijangka akan bermula dalam tahun ini, kata Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata projek tersebut juga bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat termasuk dari segi peluang pekerjaan.
"Ia akan melalui proses dan perlu memenuhi syarat yang sama dengan projek hotel-hotel lain bagi memastikan kesejahteraan penduduk tempatan dipelihara. Hasil perbincangan dengan pihak pengusaha, mereka tidak menuntut syarat baharu dan bersetuju memenuhi setiap syarat ditetapkan.
"Sebelum ini penduduk setempat salah faham mengenai projek pembinaan Hard Rock Cafe dan hotel ini.
"Dengar sahaja nama Hard Rock Cafe dikatakan menjual arak secara limpah," katanya kepada pemberita selepas melakukan ziarah Mahabbah Ramadan di Hospital Port Dickson hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri dan tiada masalah berkenaan projek ini untuk dibangunkan.
"Saya sendiri meneliti permohonan projek tersebut dan syarat yang ditetapkan malah ia turut membantu peluang pekerjaan dan juga kebersihan kawasan, sekali gus memberi faedah kepada penduduk tempatan," katanya.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu pihaknya berpuas hati dengan tindakan awal yang dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menangani masalah bangunan terbengkalai.
Katanya, masalah tersebut telah dibawa ke mesyuarat negeri sejak lima ke enam bulan yang lalu dan menjadi keutamaan untuk diselesaikan.
Selepas program ziarah Mahabbah Ramadan, Anwar turut menziarahi beberapa rumah keluarga asnaf di Kampung Air Meleleh dan Taman Ria termasuk menziarahi seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlantar akibat lumpuh.
Anwar meluangkan masa kira-kira setengah jam menjenguk dan mendengar permasalahan yang dihadapi selain memberikan sumbangan duit dan hamper kepada mereka.
-- BERNAMA
#Ahli Parlimen Port Dickson
#Anwar Ibrahim
#Hard Rock Cafe
#Hard Rock Hotel
#Hospital Port Dickson
#Mahabbah Ramadan
#projek Hard Rock Cafe