Pembinaan ECRL Terengganu terpantas, capai kemajuan 90 peratus - Ahmad Samsuri
Bernama
Januari 22, 2025 20:15 MYT
Januari 22, 2025 20:15 MYT
DUNGUN: Terengganu menjadi negeri paling pantas ketika ini dalam pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berbanding tiga negeri lain apabila telah mencapai tahap kemajuan 90 peratus.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembinaan projek itu masih mengikut jadual dan stesen di Dungun yang dilawatnya hari ini sudah 58 peratus siap.
Semasa tinjauan di sekitar stesen yang bakal dilaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu, beliau berkata isu infrastruktur merupakan cabaran utama dalam menjayakan TOD, sebagai pemangkin ekonomi dan industri baharu negeri.
"Ada cabaran tertentu tetapi saya rasa kerajaan negeri sangat terbuka untuk bincang dengan mana-mana pelabur yang ingin melabur untuk sama-sama bangunkan TOD.
"Memang kalau kita cakap dengan para pelabur yang ingin sama membangunkan TOD ini adalah kedudukan infrastruktur yang perlu sedia supaya mereka dapat terus menjalankan pembangunan di sini...dan itu antara cabaran kita," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata Terengganu akan melaksanakan TOD, iaitu pendekatan perancangan bandar yang menekankan kepada pembangunan kawasan bercampur penggunaannya, mudah dijelajah dan dibangunkan dengan sistem pengangkutan yang cekap di kawasan sekitar enam stesen ECRL.
"Dan kalau kita tengok secara spesifiknya cabaran di sini, saya rasa jelas ini adalah kawasan yang green area (kawasan baru) dan ada stesen yang berada pada kedudukan lapan hingga sembilan meter atas aras laut...maka ia perlu ditimbun bagi mengelakkan banjir.
"Kita perlukan koordinasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya termasuk Tenaga Nasional Berhad untuk pastikan jalan masuk ke sini tiada gangguan banjir dan kawasan pembinaan pembangunan juga dapat meminimumkan kesan banjir itu sendiri," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar berkata pembinaan 16 pemecah ombak bagi mengawal isu hakisan pantai di Batu Rakit, Kuala Nerus boleh diteruskan dalam masa terdekat mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia berhubung fenomena ombak besar di negeri itu kini berada pada penghujung.
Pembinaan itu katanya tergendala ekoran barge vessel iaitu jentera yang membawa batuan ke tengah laut tidak dapat masuk ke kawasan pembinaan kerana ombak besar.
"Untuk jangkaan siap, itu saya tidak pasti berapa lama lagi. Tapi saya telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjaga PETRA (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) dan beliau telah nyatakan komitmen untuk membantu dan turun dalam masa terdekat ke Terengganu bagi melihat tindakan segera yang boleh dibuat," katanya.
-- BERNAMA