Pembinaan bangunan wad baharu mampu tampung kesesakan Hospital Bintulu

Astro Awani
Jun 20, 2020 19:42 MYT
Datuk Aaron Ago Dagang, pembinaan fasiliti kesihatan termasuk klinik kesihatan amat diperlukan bagi memastikan perkhidmatan perubatan dapat disampaikan secara dinamik. -Gambar Arkib
Pembinaan blok bangunan wad perubatan baharu di Hospital Bintulu dipercayai dapat menampung masalah kesesakan pesakit di bandar itu.
Oleh itu, Timbalan Menteri Kesihatan (II), Datuk Aaron ago Dagang menyatakan blok bangunan baharu itu dengan peruntukan lebih RM400 juta adalah perlu kerana ia turut mengambil kira aspek peningkatan penduduk bandar tersebut.
“Untuk wad tersebut, Hospital Bintulu telah memohon untuk mendapatkan satu lagi blok baharu dengan jumlah 250 katil.
“Projek ini boleh menjangkau kos sehingga lebih RM400 juta. Perkara ini masih dalam perancangan,” katanya.
Ujar beliau lagi, pertambahan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan lain amat diperlukan bagi memastikan pasukan perubatan menyampaikan khidmat mereka secara lebih efisien dan pantas.
Tambahnya lagi, ini juga akan memberi manfaat besar kepada warga Bintulu dalam menjalankan pemeriksaan kesihatan dengan lebih selesa.
Setakat ini jelasnya, Bintulu memiliki 12 klinik kesihatan, sebuah klinik komuniti dan sebuah klinik kesihatan ibu dan anak.
Justeru, pihaknya mengambil kira cadangan untuk membina tiga lagi klinik baharu iaitu klinik kesihatan jenis 3, iaitu bagi kawasan Kidurong, Samalaju serta klinik kesihatan jenis 6-Data Kakus.
Selain Bintulu, beliau turut mencadangkan pembinaan hospital di daerah Tatau untuk tujuan yang sama iaitu memenuhi keperluan pesakit.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Bintulu.
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Bintulu #Blok Perubatan Baharu Hospital Bintulu #Datuk Aaron Ago Dagang #Tatau #Timbalan Menteri Kesihatan Dua
;