Pembinaan 20 unit pam tambahan di Kelantan dijangka siap Ogos 2025 - Mohamad

Bernama
Oktober 27, 2024 15:45 MYT
Mohamad ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Kumpulan Pengguna Air (KPA) Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadau (IADA) Kemasin Semerak di Tok Aman Bali hari ini. - Foto BERNAMA
PASIR PUTEH: Pembinaan 20 unit pam tambahan bernilai RM20 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, dijangka siap dan mula beroperasi pada Ogos 2025, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata perolehan projek berkenaan yang sudah bermula, turut melibatkan pembinaan tapak pam yang sesuai bagi membolehkannya berfungsi dengan baik.
"Sebelum ini Rumah Pam Kemubu mengalami masalah untuk menyedut air apabila paras air rendah akibat berlaku kemarau.
"Kita harap projek ini berjalan dengan lancar mengikut jadual untuk memastikan proses penanaman padi di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu tidak terjejas pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah kepada 48 Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak 2024 di Tok Bali, di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar mengarahkan supaya pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan berikutan berdepan masalah musim kemarau berpanjangan.
-- BERNAMA
#pam tambahan #negeri Kelantan #Mohamad Sabu #Anwar Ibrahim
;