Pembida projek kereta kabel Bukit Bendera akan diumum hujung tahun ini

Bernama
Jun 1, 2022 12:21 MYT
Kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan model perniagaan dan kewangan seperti melakukan projek-projek nilai tambahan. - Gambar fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang dijangka mengumumkan pembida yang berjaya untuk projek kereta kabel Bukit Bendera pada hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata proses penilaian sedang dilakukan untuk Permohonan Cadangan (RFP) yang telah dipanggil 13 Januari dan tutup pada 30 November tahun lepas.
"Hasil penilaian akan diangkat kepada Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu berdasarkan Garis Panduan Projek Kerjasama Awam Swasta Negeri Pulau Pinang (2021). Tawaran kepada pembida yang berjaya dijangka dikeluarkan sebelum penghujung 2022," katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Zairil menjelaskan bahawa projek ini merupakan projek secara 'BuildFinance-Operate-Transfer' (BFOT), maka semua kos pembinaan dan operasi adalah ditanggung oleh pihak pembida yang berjaya.
Beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan model perniagaan dan kewangan seperti melakukan projek-projek nilai tambahan agar pembida yang berjaya akan mendapat pulangan yang wajar dalam satu-satu tempoh.
"Kita akan memastikan projek ini dilakukan dengan jaya agar masyarakat setempat khususnya penduduk Pulau Pinang akan menerima manfaatnya," katanya.
Tahun lepas, kerajaan Pulau Pinang melalui Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan akan meneruskan projek kereta kabel Bukit Bendera melalui konsep kerjasama dengan pihak swasta susulan pembatalan peruntukan RM100 juta oleh kerajaan Persekutuan untuk membangunkan projek tersebut pada April 2020.
-- BERNAMA
#Bukit Bendera #kereta kabel #pembida #pulau pinang
;