Pembiakan tikus: Peniaga tidak mahu terus dipersalahkan

Nabihah Hamid
Ogos 23, 2013 17:00 MYT
“Jangan hanya salahkan kami."
Itu luahan peniaga premis makanan di sekitar Kuala Lumpur yang berpendapat kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT), peniaga dan pelanggan amat penting bagi membasmi masalah pembiakan tikus di ibu kota.
Bagi peniaga, walaupun pelbagai tindakan dilakukan, ia gagal menghapuskan haiwan mamalia itu. Ini kerana meskipun diracun namun haiwan pembawa penyakit kencing tikus itu pantas membiak.
Bagaimana tidak, jika ia hanya dibebankan dibahu peniaga dan pada masa sama orang ramai sambil lewa membuang sampah kepada mereka. Pembasmian tikus memang tiada jalan penyelesaiannya.
Seperti Saini Sarip yang sudah hampir 7 tahun berniaga bubur berlauk di Kampung Baru. Beliau sedar akan bahayanya kehadiran tikus lebih-lebih di premis makanan.
Sehubungan itu, Saini 54 tahun mengambil inisiatif sendiri untuk mencegah kehadiran tikus dengan meletakkan racun tikus disekitar longkang berhampiran gerainya.
“Saya beli sendiri racun, lepas itu saya beri makanlah. Kadang-kadang bila pagi-pagi sampai 5 ekor tikus mati,”
“Kebersihan kena jaga, kita bukan tak jaga tapi mana-mana pun ada tikus. Bukan kita tak cuba bunuh tikus ini,” kata Saini ketika ditanya wartawan yang bertanyakan kepadanya tetang langkah yang di ambil bagi membasmi tikus.
Begitu juga dengan Mohd Hafiz Mohd Isa, pembuat air di sebuah kedai makan di Kampung Baru. Beliau sentiasa menitik beratkan kebersihan terutamanya tin-tin minuman yang dihidangkan kepada pelanggan.
“Kalau orang datang ke kedai tidak makan sekalipun mereka akan minum. Jadi kita kenalah jaga kebersihan. Kalau macam tin minuman saya akan lap dulu pastikan bersih sebelum bagi pada pelanggan.”
“Sebab kita bukan hanya takut pada tikus sahaja tetapi lalat dan lipas juga bawa penyakit.”
Sementara itu, ada peniaga juga yang mengadu penyelenggaraan longkang yang tidak konsisten merupakan antara punca pembiakan tikus.
Malah mereka turut mencadangkan agar kutipan sampah perlu kerap diadakan pihak berkuasa.
“Untuk hasil yang lebih baik. Kutiplah sampah dua kali sehari. Sekarang pagi sahaja kontraktor kutip. Longkang yang pecah pun kenalah baiki segera dan ini mungkin akan mengurangkan tikus dalam bandar,” kata Amir Ismadi yang merupakan peniaga nasi campur.
Sementara itu, penjual buah yang ditemui, Rosdi Musa turut kesal dengan tindakan pihak tertentu yang hanya menyalahkan peniaga.
“Ketiga pihak perlu kerjasama untuk menambah baik darisegi longkang tersumbat. Untuk elak masalah tikus ini, bukan satu pihak sahaja.
“Kalau peniaga buang sampah, dan tempat kotor, kami akan dikenakan tindakan. Bagaimana pula dengan orang ramai? Jadi pelanggan pun kenalah sama-sama jaga kebersihan. Pihak berkuasa pun kenalah rajin pantau. Dan jangan hanya nak salahkan kami sahaja.”
Orang ramai juga perlu sedar dan tidak membuang sampah merata-rata terutamanya di longkang-longkang.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan tahun lalu menunjukkan sebanyak (3,347) premis makanan diarah tutup di seluruh negara berikutan masalah kebersihan dan kesihatan awam.
Tahun ini sahaja, kementerian membuat pemeriksaan berjadual dan sebanyak (2,560) premis diperiksa dan (324) premis diarah tutup.
Oleh itu, tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak di bahu peniaga sahaja. Ini kerana kebersihan merupakan tanggungjawab bersama.
#pembiakan tikus #tempat makan
;