Pembersihan tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands siap minggu ini

Abd Razak Mohd Ali
Disember 7, 2021 20:14 MYT
JKR akan membuat penilaian sama ada laluan itu boleh dibuka semula kepada lalu lintas selepas kerja pembersihan selesai. - Gambar/ Bernama
SUNGAI SIPUT: Kerja-kerja pembersihan kawasan tanah runtuh di Seksyen 27, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dijangka siap minggu ini.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, selepas itu Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penilaian sama ada laluan itu boleh dibuka semula kepada lalu lintas.
"Dijangkakan dalam tiga hingga empat hari lagi, pihak syarikat konsesi dapat membersihkan jalan tersebut.
"... dan ada kemungkinan jalan itu dapat digunakan mungkin dalam satu lorong dulu kerana kita memerlukan pembinaan konkrit kawasan tanah runtuh tu yang agak tinggi dan membahayakan," katanya.
Kajian terperinci pengurusan risiko tanah runtuh akan dilakukan
Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk serta pihak berkuasa mengenai banjir kilat di Taman Muhibbah Jaya, Sungai Siput, pada Selasa.
Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira jam 1.44 tengah hari Khamis lalu, dua lelaki terkorban apabila kenderaan mereka tertimbus tanah runtuh ketika melalui jalan berkenaan.
Tanah Runtuh | Dua kenderaan tertimbus, dua maut
Mangsa ialah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tanah runtuh itu ditamatkan pada petang Jumaat selepas pihak berkuasa yakin tiada lagi mangsa yang terbabit.
#tanah runtuh Simpang Pulai #Cameron Highlands #kerja pembersihan jalan #pembukaan semula laluan
;