Pembersihan pascabanjir: Jalan sekitar Hulu Langat ditutup dua jam Isnin-Khamis
Bernama
Disember 27, 2021 06:16 MYT
Disember 27, 2021 06:16 MYT
SHAH ALAM: Beberapa jalan sekitar daerah Hulu Langat akan ditutup selama dua jam setiap Isnin hingga Khamis bagi memudahkan urusan kerja-kerja pembersihan sampah pasca banjir di Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata penutupan itu, dari 8 hingga 10 pagi, adalah bagi melancarkan proses kutipan sampah oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd susulan berlaku kesesakan jalan sehingga menghalang lori syarikat tersebut menjalankan tanggungjawabnya.
"Di peringkat awal, kita ingin melakukan penutupan itu selama dua hari sahaja namun setelah diputuskan kita akan melaksanakannya setiap hari kecuali Jumaat hingga Ahad," katanya dalam sidang khas berhubung perkembangan banjir di sini semalam.
Beliau berkata kesesakan jalan di daerah itu adalah disebabkan oleh kehadiran sukarelawan yang ramai sehingga menyebabkan operasi kutipan sampah mengambil masa dan pihaknya terpaksa menambah jumlah hari bagi operasi pembersihan.
Katanya setakat ini, sebanyak 13,699.55 tan sampah banjir telah dikutip yang melibatkan implikasi kewangan RM6.03 juta.
Amirudin berkata pihaknya juga sedang meneliti kemungkinan melaksanakan perkara sama di Padang Jawa dan Taman Sri Muda di daerah Klang namun bergantung kepada kesesuaian serta akan diumum awal sehari bagi memudahkan perancangan penduduk sekitar.
Mengulas isu pendaftaran sukarelawan, beliau berkata langkah itu bagi memudahkan penyelarasan dan keselamatan.
"Saya dimaklumkan ada dua sukarelawan telah meninggal dunia akibat lemas dalam membantu proses (pemindahan mangsa banjir).
"Kita tidak mahu mereka yang datang sebagai sukarelawan untuk menabur bakti akhirnya menjadi mangsa kepada bencana akibat kekurangan penyelarasan dan koordinasi," katanya sambil menambah kerajaan negeri memerlukan lebih RM368 juta bagi melaksanakan projek pembaikan selepas banjir melanda Selangor.
Beliau berkata bagi kategori darurat seperti keperluan Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan Pejabat Tanah serta Jabatan Kerja Raya adalah lebih RM142 juta, kategori segera lebih RM177 juta dan kadar biasa lebih RM49 juta.
"Sebahagian kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan sudah pasti senarai (itu) dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan pelarasan," katanya.
-- BERNAMA