Pemberian vaksin secara 'walk-in' lancar, kecuali di Serendah - Khairy

Fareez Azman
Ogos 3, 2021 16:21 MYT
Pemberian vaksin secara jumpa terus (walk-in) bermula semalam berjalan lancar, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin. - Gambar fail
SEPANG: Pemberian vaksin secara jumpa terus (walk-in) bermula semalam berjalan lancar, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, menurut beliau, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Serendah menghadapi kekurangan bekalan susulan kehadiran penerima yang ramai.
"Pemberian vaksin secara jumpa terus bagus ketika ini, cuma satu PPV semalam kita saksikan jumlah penerima hadir terlalu ramai iaitu di Serendah, Selangor.
"(Seramai) 700 orang hadir (dan) hanya 300 sahaja telah menerima vaksin, selebihnya di bawah kapasiti harian," katanya dalam sidang media selepas menyambut pesawat yang membawa 415,000 vaksin AstraZeneca sumbangan kerajaan United Kingdom di Kuala Lumpur Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Selasa.
Pemberian vaksin secara jumpa terus bermula 2 hingga 4 Ogos itu dibuka kepada rakyat berusia 40 tahun ke atas atau gologan berisiko tinggi.
Tinjauan Astro AWANI di PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam mendapati, orang ramai mula hadir kira-kira sekitar 1.30 tengah hari bagi mendapatkan dos pertama vaksin mereka.
Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sebelum ini memaklumkan, sebanyak sembilan PPV terlibat memberi suntikan vaksin secara walk-in tanpa janji temu di Lembah Klang.
Kesemua PPV itu adalah KLCC (HCO F, HCO G dan HCO H); Bangi Avenue Convention Centre; Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Movenpick Hotel Convention Centre KLIA dan Ideal Convention Centre, Shah Alam.
BACA: CITF umum 9 PPV 'walk-in' di Lembah Klang
#COVID-19 #vaksin COVID-19 #walk-in #PPV walk-in #Lembah Klang #Pusat Pemberian Vaksin #PPV Serendah #Khairy Jamaluddin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 #CITF
;