Pemberian vaksin pada Mei catat angka tertinggi - JKJAV

Bernama
Mei 20, 2021 04:34 MYT
Mengikut perancangan, tempoh pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan membabitkan pemberian vaksin kepada 500,000 anggota barisan hadapan, termasuk petugas kesihatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jumlah pemberian vaksinasi COVID-19 harian bagi Mei merekodkan angka tertinggi setakat Rabu dengan 83,648 dos, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Menerusi infografik yang dikongsikan di Twitter rasmi JKJAV, jumlah itu melibatkan angka bagi individu yang telah melengkapkan suntikan dua dos iaitu 33,926, manakala pemberian suntikan satu dos ialah 49,722.
"Jumlah ini akan meningkat apabila lebih banyak bekalan vaksin diterima nanti," menurut ciapan di Twitter JKJAV, malam tadi.
Mengikut perancangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan, termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.
Fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
-- BERNAMA
#vaksin #suntikan #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #petugas kesihatan #JKJAV #barisan hadapan #satu dos #dua dos
;