Pemberian vaksin kepada penduduk Langkawi dipertingkat - MOTAC
Bernama
Julai 17, 2021 18:43 MYT
Julai 17, 2021 18:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Langkawi akan dipertingkat dalam masa terdekat bagi mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok sekali gus merealisasikan perancangan pulau pelancongan itu sebagai destinasi rintis bagi Program Destinasi Bebas COVID-19.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan cadangan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) selaras dengan tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan MOTAC sebelum ini.
Kenyataan itu turut memetik Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri sebagai berkata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberi jaminan bekalan vaksin akan tiba di Pulau Langkawi minggu depan serta mencukupi bagi menjayakan sasaran 80 peratus imuniti kelompok.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Khairy Jamaluddin yang merealisasikan Program Destinasi Bebas COVID-19 di Pulau Langkawi sebagai projek rintis dan seterusnya usaha ini akan diperluas ke destinasi pelancongan lain di negara ini iaitu Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka dan Sabah secara berperingkat sebagai gelembung perjalanan hijau," katanya.
Dianggarkan seramai 76,000 individu di Pulau Langkawi layak menerima vaksin daripada keseluruhan penduduk yang berjumlah 111,500 orang.
Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh CITF Negeri Kedah, setakat 12 Julai, penduduk Langkawi yang telah mendaftar untuk vaksinasi ialah 61,313 orang dan daripada jumlah itu, penerima vaksin dos pertama ialah seramai 27,362 orang manakala dos kedua seramai 20,465 orang.
"Ini bermakna hanya 30 peratus penduduk yang mendaftar telah menerima dos lengkap. Angka ini masih rendah. Sebab itulah kita mahu memastikan usaha yang dilaksanakan dapat membantu mempercepat kadar pemberian vaksin kepada penduduk di pulau itu," kata Nancy.
Menurut kenyataan itu, sebuah pusat pemberian vaksin Integrasi baharu turut dilancarkan hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dengan kapasiti penerima disasarkan seramai 3,000 orang sehari.
Mengulas lanjut, Nancy berkata pemilihan destinasi rintis adalah perlu bagi memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap keselamatan di sesuatu destinasi pelancongan dalam negara dan sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai tempat ujian.
Usaha itu bagi menyemarakkan kembali industri pelancongan yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 memandangkan Pulau Langkawi berada di kawasan terasing sekali gus memudahkan urusan pemantauan.
Katanya destinasi rintis yang dipilih memiliki kekuatan tersendiri seperti rangkaian penerbangan seranta dan antarabangsa serta kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.
Nancy juga optimis sektor pelancongan dan kebudayaan dapat dipulihkan kembali seperti disasarkan pada November ini atau lebih awal mengikut Pelan Pemulihan Negara pada fasa empat sekiranya rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan situasi semasa COVID-19 berada pada tahap yang tidak membimbangkan.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat khususnya penduduk di Pulau Langkawi untuk sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan dan menepati janji temu vaksinasi agar sasaran 80 peratus imuniti kelompok di pulau itu dapat dicapai seterusnya dapat kembali menjadi destinasi utama pelancongan Malaysia di mata dunia.
"Marilah kita bersama-sama menyumbang kepada usaha menangani pandemik ini dengan lebih berkesan agar kita dapat keluar daripada kemelut ini.
"Menerusi usaha ini juga, kita berharap aktiviti ekonomi utama iaitu pelancongan di Pulau Langkawi dapat berjalan seperti sediakala bagi memastikan kebajikan dan pendapatan rakyat dapat dijana semula," katanya.
-- BERNAMA