Pemberian sebagai cenderahati perluas pasaran, angkat martabat kraf tempatan

Bernama
Mac 4, 2024 08:30 MYT
Pusat Kraftangan Miri antara destinasi yang menjadi tumpuan pelancong dan warga tempatan untuk mendapat barangan kraftangan yang diidamkan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kraftangan sering dianggap sebagai 'industri kampung', namun keadaan itu bakal berubah susulan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memartabat dan memastikan industri itu terus berkembang serta mampu 'terbang tinggi'.
Arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi cenderahati berupa produk kraftangan pengusaha tempatan pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada Sabtu, menyuntik kelegaan dan kegembiraan buat penggiat industri kraftangan.
Usaha itu dilihat pengusaha kraf di Sabah dan Sarawak sebagai satu langkah yang bukan sahaja membantu memperluaskan pasaran produk, tetapi turut meningkatkan martabat kraf yang menjadi warisan kesenian negara agar lebih dikenali dan dihargai masyarakat tempatan dan luar.
Di SABAH, pengusaha kraft anyaman Emily Jeneble, 43, dari Sook berkata selain meningkatkan pendapatan pengusaha kraf, langkah itu juga mampu menarik lebih ramai pengusaha untuk menceburi bidang yang sering dianggap sebagai perusahaan sampingan.
"Saya amat hargai pengumuman ini dan ia meningkatkan lagi semangat saya untuk berkecimpung dalam industri ini dan yang paling penting harapan saya serta cita-cita saya untuk membangunkan juga memperkasa lebih ramai komuniti baharu bidang kraf di negeri ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Emily turut berkongsi kenangan manisnya pada Oktober 2021 apabila Menteri Kewangan ketika itu, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggunakan beg anyaman buluh dan kanvas kapas dihiasi anyaman kelarai yang dihasilkannya, untuk membawa dokumen Bajet 2022 ke Parlimen.
Pengusaha kraf manik Hanna Porodong, 58, dari Kudat berkata usaha kerajaan itu sudah tentu membuka peluang kepada lebih ramai pengusaha kraf kecil mengembangkan perniagaan mereka, seterusnya mengekalkan seni warisan kraf di Sabah.
"Langkah ini juga dapat menyegarkan budaya dan warisan lama yang kita warisi terutama motif etnik turun-temurun dengan menambah jenis dan bilangan produk tersebut. Universiti Malaysia Sabah juga antara agensi yang sedang berbincang untuk bekerjasama hasilkan cenderahati dengan kita," katanya.
Bagaimanapun, beliau memohon supaya diwujudkan mekanisme kawalan untuk memastikan hanya kraf yang benar-benar tulen dan dihasilkan oleh pengusaha tempatan digunakan untuk tujuan berkenaan dan bukannya yang diimport dari luar negara.
Di SARAWAK, pengusaha kraf anyaman Alice Umbang, 51, berkata kraftangan tempatan akan semakin dikenali di mata dunia jika dijadikan cenderamata korporat memandangkan negeri itu sering menganjurkan acara antarabangsa.
"Kraf tempatan bukan sahaja mempunyai nilai seni, warisan, budaya dan identiti tersendiri malah amat berkualiti, kebanyakan dihasilkan sendiri bukannya menggunakan mesin jadi terjamin dari segi mutunya," jelasnya.
Menurut seorang pengusaha kraf manik Monica Geres, 52, setiap kraf yang dihasilkan seperti manik yang diletakkan di atas bahu atau dikenali sebagai 'tangu' dalam bahasa Iban, merupakan satu daripada aksesori tradisional kaum Iban yang mempunyai maksud serta corak yang berbeza mengikut bahagian.
"Justeru, jika hasil kraf ini digunakan sebagai cenderahati terutamanya untuk orang luar, mereka akan berasa teruja kerana ia bukan sahaja mempunyai nilai estetik tersendiri malah mempunyai penceritaan tersendiri dari segi budaya dan adat, malah orang luar mahu mengetahui lebih mendalam lagi tentang budaya kita," katanya kepada Bernama.
Bagi George Allan, 48, seorang pengusaha sape, yang merupakan sejenis alat muzik tradisional Orang Ulu, kraftangan tempatan disifatkan sebagai hadiah yang berstandard premium dan sangat berharga.
-- BERNAMA
#Cenderahati #kraftangan #industri kampung #KEB 2024
;