Pemberian kontrak kerajaan: 'Wahyu' ahli politik paksa pegawai atasan akur
Umavathi Ramayah
April 7, 2021 12:25 MYT
April 7, 2021 12:25 MYT
KUALA LUMPUR: Campur tangan ahli politik menerusi 'wahyu' memaksa pegawai atasan untuk akur memberi kontrak kepada kontraktor-kontraktor yang mempunyai kepentingan.
Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, keengganan menurut perintah yang diberikan itu akan meletakkan pegawai berkenaan berdepan dengan bekemungkinan ditukarkan ke jabatan lain.
"Pegawai atasan takut apabila ada 'wahyu' daripada sesetangah ahli politik yang tiada berintegriti.
"Ada beberapa kes apabila melawan (arahan) menteri, kita (pegawai) akan ditukar dan masa depan jadi gelap" katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Rabu ini.
Mengulas lanjut, Akhbar berkata, dalam situasi itu, adalah sesuatu yang jarang dan sukar bagi mana-mana pegawai atasan untuk menolak 'wahyu' yang diterima daripada ahli politik.
"Tapi kita boleh menggunakan budi bicara menolak sesuatu yang melanggar undang-undang," katanya.
Menurutnya, tindakan tatatertib ke atas pegawai kerajaan di Malaysia juga adalah tidak begitu efektif berbanding kakitangan swasta.
Katanya, mana-mana pegawai yang dikesan tidak berintegriti hanya diturunkan pangkat atau ditukar ke jabatan lain.
Justeru, beliau menggesa kerajaan supaya meneliti semula hukuman ke atas pegawai kerajaan yang terlibat dalam masalah integriti termasuk mengenakan hukuman penjara seperti di Hong Kong.
#integriti
#SPRM
#Rasuah
#RasiahBusters
#ditukar jabatan
#Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah
#kontrak