Pemberian Khas Sabah: Ahli Parlimen Kota Belud cadang tiga fasa

Astro Awani
Januari 3, 2023 06:45 MYT
ISNARAISSAH: Lebihan peruntukan pembangunan yang tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa perlu disimpan semula di dalam tabung atau akaun amanah pembangunan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan peruntukan bagi tahun berikutnya. - Gambar faiL
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mencadangkan agar fasa pelaksanaan hak-hak Sabah yang masih belum dilaksanakan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilakukan secara berperingkat.
Menurut beliau, fasa pertama perlaksanaan perjanjian tersebut perlu dibuat dengan kadar segera bermula dengan semakan semula Pemberian Khas kepada Sabah.
Katanya, ia supaya selari dengan formula pemberian semula dua perlima atau 40 peratus hasil persekutuan kepada kerajaan negeri seperti yang termaktub mengikut Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan, Isnaraissah mencadangkan tiga fasa, dengan fasa kedua dimulakan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 yang mana ia tidak membabitkan sebarang pindaan akta tetapi pindaan kepada arahan pentadbiran dan pekeliling perbendaharaan.
Ini termasuk penetapan setiap satu butiran perbelanjaan yang akan dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak dijelaskan di dalam anggaran Perbelanjaan Persekutuan supaya mudah dipantau.
Turut boleh dilaksanakan ialah pindaan pekeliling Perbendaharaan (PB 2.6 dan PB 2.5) dengan melarang viremen dan pindah peruntukan ke atas perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi butiran berkaitan Sabah dan Sarawak.
"Jika dalam keadaan tertentu yang tidak dapat dielakkan, pekeliling perbendaharaan boleh membenarkan pindahan peruntukan dilakukan dengan syarat kelulusan daripada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak perlu diperolehi terlebih dahulu.
"Lebihan peruntukan pembangunan yang tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa perlu disimpan semula di dalam tabung atau akaun amanah pembangunan Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan peruntukan tahunan bagi tahun berikutnya," katanya.
Bagi fasa 1, menurut Isnaraissah, pelaksanaan segeranya tidak memerlukan pindaan akta dan telah dibincangkan di dalam Majlis Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan MA63.
"Saya menggesa supaya jawatankuasa kerja antara kerajaan Persekutuan dan Sabah dan Sarawak ditubuhkan bagi pemantapan mekanisme kolaborasi pelaksanaan projek Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan juga perlu segera melantik wakil negeri pengeluar minyak di dalam Anggota Majlis Penasihat Petroleum Negara (MPPN) dan kedudukan mereka perlu setaraf dengan Majlis di peringkat Kebangsaan seperti Majlis Tanah Negara dan Majlis Kewangan Negara.
"Bagi fasa ketiga dalam mesyuarat Parlimen yang akan datang, kerajaan harus menyelesaikan isu-isu perundangan mengenai empat perkara berkaitan petroleum iaitu isu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah (Akta 750) dan hak negeri ke atas Pelantar Benua," tambahnya.
#Pemberian Khas Sabah #Isnaraissah Munirah Majilis #MA63 #Perlembagaan Persekutuan
;