Pemberian Kad Warga Asing mengarut, tidak selesaikan masalah - Jeffrey Kitingan
Eleanor Michelle Patrick
Februari 11, 2022 20:30 MYT
Februari 11, 2022 20:30 MYT
KOTA KINABALU: Malaysia tidak sepatutnya dibebani dengan masalah PATI termasuk menyediakan dokumen baharu semata-mata mahu mengklasifikasikan mereka sebagai warga asing.
Sambil menyifatkan pemberian Kad Warga Asing satu tindakan mengarut, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, usaha Kerajaan Persekutuan itu hanya akan memburukkan masalah.
Ini kerana jelasnya, setiap PATI harus dikendalikan mengikut undang-undang selain ditangkap dan didakwa di mahkamah serta dihantar pulang ke negara asal.
"Kenapa mereka perlu diberi layanan istimewa? Mereka melanggar undang-undang imigresen dan melakukan jenayah dengan memasuki negara kita secara haram?
"Jika kita pergi ke negara mereka dan melakukan seumpama, kita akan didakwa, dipenjara dan kemudian dihantar pulang, bukan diberikan dokumen peribadi dan dibenarkan bekerja," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah Jeffrey, Malaysia mempunyai undang-undang dam kemasukan PATI secara haram perlu diheret ke pengadilan dan dihantar pulang.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menjelaskan, setiap warga asing yang datang ke negara ini termasuk Sabah perlu mempunyai dokumen pengenalan diri sah dari negara asal mereka.
Selain itu, Jeffrey berkata, orang asal Sabah yang tinggal di pedalaman dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri ekoran kesukaran logistik untuk mendaftar kelahiran.
"Sebaliknya, PATI pula diberikan Kad Warga Asing dengan mudah," katnya sambil menyifatkan kemungkinan terdapat sedikit kebaikan pelaksanaan itu berbanding inisiatif kerajaan negeri ditadbir Warisan yang mahu melaksanakan pas sementara Sabah (PSS).