Pemberian kaca mata percuma bantu ketajaman penglihatan murid - KKM
Astro Awani
Januari 16, 2025 11:57 MYT
Januari 16, 2025 11:57 MYT
PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau masalah ketajaman penglihatan murid sekolah melalui pemeriksaan oleh Pasukan Kesihatan Sekolah di bawah KKM dan menetapkan sasaran pengesanan ketajaman penglihatan melebihi lima peratus daripada jumlah murid diperiksa.
Murid-murid ini dirujuk untuk mendapatkan pembetulan ketajaman penglihatan melalui pemakaian cermin mata.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pun begitu, KKM menyedari walaupun mereka telah dirujuk untuk pembetulan ketajaman penglihatan, masih terdapat sebilangan daripada mereka yang tidak memakai cermin mata disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti kekangan ekonomi.
Justeru itu, bagi menangani masalah tersebut, KKM bekerjasama bersama badan terlibat untuk melaksanakan projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma.
"Bagi menangani masalah ini, KKM melalui kerjasama awam-swasta, telah berganding bahu dengan KPM dan Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd, untuk melaksanakan projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma kepada murid daripada kategori B40 dan M40.
"Projek rintis ini telah bermula sejak Ogos 2024 dan mengambil masa selama satu tahun, di 16 buah sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Ia merangkumi murid Tahun 1 B40 & M40 dengan jumlah bilangan murid yang disaring 2,642 orang. Manakala bilangan murid yang layak 100 orang (3.8%)," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Pemeriksaan Refraksi Dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 Dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di Putrajaya pada Khamis.
Jelasnya, sumbangan seperti ini membuktikan bahawa sektor swasta memainkan peranan penting dalam memastikan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua,
terutamanya golongan yang paling memerlukan.
Pelbagai inisiatif telah dirangka bersama oleh pihak KKM dan KPM termasuk Program Kesihatan Pergigian Sekolah (PKPS), Program Kesihatan Sekolah, Program Imunisasi Murid Sekolah, Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah dan Program Minda Sihat Sekolah.
Pendekatan ini mencerminkan nilai MADANI dengan memastikan usaha kesihatan dan pendidikan memberi manfaat jangka panjang (mampan), menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh (sejahtera), dan melibatkan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang (inklusif).