Pemberian insentif dapat tingkat semangat juang atlet - Rosmah
Bernama
September 13, 2016 07:55 MYT
September 13, 2016 07:55 MYT
Pemberian insentif dan ganjaran kepada wira-wira Olimpik negara adalah perkara yang baik kepada pembangunan sukan negara kerana ia dapat meningkat semangat juang para atlet.
Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansor berkata insentif itu amat berkesan terutamanya bagi atlet muda yang baru mewakili negara di peringkat antarabangsa.
"Saya telah melihat komitmen penuh pemain untuk menang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan pemain badminton yang beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro oleh Celcom Axiata Berhad di Axiata Tower di sini, semalam.
Hasil perbincangan dengan pemain, katanya, mereka berjanji untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh dan akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik 2020 dio Tokyo.
Isteri perdana menteri itu berkata beliau menasihati atlet negara bahawa tiada jalan pintas untuk menjadi seorang juara, malah harus bekerja keras dan berkorban untuk mencapai azam itu.
Terdahulu, beliau menyaksikan pemberian cek insentif oleh Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Michael Kuehner kepada lapan pemain yang beraksi di Rio, selaku penaja utama BAM.
Lima pemenang pingat perak, iaitu pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menerima insentif sejumlah RM30,000 seorang iaitu RM20,000 wang tunai dan RM10,000 kredit Celcom.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita Tee Jing Yi dan pasangan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei menerima insentif sebanyak RM20,000 (RM10,000 tunai dan RM10,000 kredit Celcom).