Pemberi pinjam wang berlesen kini dikenali sebagai Kredit Komuniti
Bernama
April 5, 2019 20:11 MYT
April 5, 2019 20:11 MYT
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menjenamakan semula syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen di bawah kementerian itu sebagai Kredit Komuniti.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata penjenamaan itu akan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan mereka sebagai pemberi pinjam wang yang sah.
"KPKT prihatin dengan keperluan masyarakat untuk mendapatkan pinjaman wang terutamanya golongan peniaga kecil dan penjenamaan semula akan membantu mereka supaya memilih saluran yang sah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan itu, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata 4,115 PPW berdaftar di bawah kementerian itu diberi tempoh tiga bulan untuk menggunakan nama baharu iaitu Kredit Komuniti dan logo baharu yang dilengkapi Kod QR pada papan tanda masing-masing.
Masyarakat boleh membuat pinjaman tanpa had dengan kadar faedah 12 peratus dengan cagaran dan 18 peratus tanpa cagaran, katanya.
Ditanya sama ada terdapat aduan yang diterima KPKT berhubung PPW sebelum ini, Zuraida berkata KPKT menerima secara purata 500 aduan setahun dan sebahagian besarnya adalah kerana kegagalan menghantar laporan atau penyata akaun.
Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan aplikasi mudah alih i-KrediKom yang memudahkan orang awam untuk membuat carian syarikat Kredit Komuniti yang berlesen di Semenanjung Malaysia selain membuat aduan dan semakan aduan.
i-KrediKom turut memberi penerangan mengenai hak sebagai peminjam dan jenis-jenis kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Pemberi Pinjam Wang 1951.
Turut dijenamakan semula pada hari ini ialah Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai di bawah KPKT yang bertanggungjawab mengawal selia syarikat PPW dan kini dikenali sebagai Bahagian Kawalan Kredit Komuniti.
-- BERNAMA
#KPKT
#kredit komuniti
#Masyarakat
#peminjam wang berlesen
#pinjam wang
#syarikat peminjam wang
#Zuraida Kamaruddin